Sunday, October 16, 2016

Menteri Besar Lancar TransJohor dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Tambahbaik Sistem Pengangkutan Awam Johor


GELANG PATAH, 16 Okt – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) hari ini melancarkan Perkhidmatan Bas TransJohor dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor (PIPAJ) bagi menambahbaik aspek pengangkutan awam di Johor.

Sunday, October 9, 2016

Jangan salah guna ilmu - Sultan Johor


BATU PAHAT, 8 Oktober: Penuntut dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) diingatkan supaya tidak menyalah guna ilmu yang dipelajari untuk tujuan tidak berfaedah termasuk menipu dan mencuri.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, ijazah yang diperoleh adalah simbol kejayaan mahasiswa atas usaha serta titik peluh mereka dan seharusnya ia tidak disia-siakan.

"Saya ingin berpesan kepada semua graduan supaya carilah rezeki yang halal dan jangan sesekali terpengaruh dengan rakan-rakan yang cetek akal.

"Janganlah graduan menyalah guna ilmu yang dipelajari untuk tujuan tidak berfaedah termasuk menipu dan mencuri.

"Kehidupan di dunia memang banyak cabaran namun jangan pilih jalan pintas untuk berjaya tetapi perlu bermula dari bawah serta sentiasa tingkatkan kualiti diri," titah baginda sempena Majlis Konvokesyen ke-16 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Gabenor Sulawesi Selatan, Indonesia, Dr Syahrul Yasin Limpo atas sumbangan dan kejayaan beliau membangunkan wilayah berkenaan.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang juga Pro Canselor UTHM; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga Pro Canselor UTHM; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr Jamilus Md Hussin dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.

Sultan Ibrahim bertitah, graduan juga perlu sentiasa berusaha mencari kerja selepas menamatkan pengajian dan tidak terlalu memilih pekerjaan.

"Segulung ijazah tidak menjanjikan kehidupan yang baik jika tidak disertakan dengan usaha gigih apatah lagi dalam dunia penuh cabaran dan perlumbaan ini," titah baginda.

Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM, turut menitahkan agar graduan tidak lupa membalas jasa serta pengorbanan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.

Baginda bertitah, graduan tidak seharusnya sombong dengan ilmu pengetahuan yang ada kerana tanpa doa restu keluarga, kejayaan yang diperoleh tidak bermakna. 

Friday, October 7, 2016

Keusahawanan dan Inovasi Perlu Dibudayakan di Johor Demi Kemapanan Ekonomi

Keusahawanan dan Inovasi Perlu Dibudayakan di Johor Demi Kemapanan Ekonomi

SKUDAI, 6 Okt – Pembudayaan bidang keusahawanan dan inovasi di negeri Johor dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada ketahanan dan kemapanan ekonominya. 

Menteri Besar Johor, Dato’Mohamed Khaled Nordin berkata kedua-dua bidang tersebut perlu menjadi katalis jika ingin memastikan kejayaan negeri itu. 

“Johor amat serius dalam pembangunan keusahawanan dan inovasi kerana pertumbuhan ekonomi yang mapan, cergas dan lestari adalah penting untuk melahirkan negeri dan masyarakat yang sejahtera. 

“Malah, melaluinya juga kita dapat membentuk masyarakat berdaya saing serta mandiri yang tidak bergantung sepenuhnya pada kerajaan dan bingkas merebut peluang, berani mengambil risiko juga berpandangan jauh,”katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Keusahawanan dan Inovasi Johor 2016, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini, hari ini. 

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Wahid Omar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail. 

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa bidang keusahawanan menuntut masyarakat untuk membudayakan perkongsian kepakaran, ilmu, dan pengalaman serta menggalakkan sinergi antara kerajaan dengan universiti dan pelbagai pemegang taruh lain. 

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana yang besar untuk aktiviti penyelidikan, misalnya peruntukan berjumlah RM2.8 bilion melalui RMK9, manakala bagi RMK10 pula peruntukannya adalah sebanyak RM1.6 bilion. 

“Malah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga telah menetapkan sasaran sejumlah 360 produk akan dikomersilkan pada tahun 2016. 

“Untuk itu, semua pihak perlu terlibat sama untuk memperbanyakkan penyelidikan yang boleh digunakan oleh rakyat dan industri tempatan secara terus dan berkesan,” katanya. 

Beliau turut menyeru agar semua pihak pihak di Johor untuk membudayakan kreativiti dan inovasi dalam setiap bidang dan sentiasa bersaing untuk membangunkan ekonomi berdasarkan idea yang kreatif bagi manfaat bersama. 

“Johor yang berkemajuan adalah Johor yang inovatif dan ekonominya dibangunkan dengan teknologi, kreativiti dan inovasi termaju. 

“Maka, jika kita bercita-cita untuk menjadi kuasa ekonomi baharu di Malaysia kita perlu membudayakannya kerana inovasi yang rancak dan berterusan akan menghasilkan sesuatu yang baru dan mempunyai nilai ekonomi,” katanya. 

Hari Keusahawanan dan Inovasi Johor atau Johor Entrepreneurial and Innovation Day (JEnID) 2016 merupakan gabungan tiga program bersekali yang disatukan menjadi satu. Ia dijadikan sebahagian daripada acara tahunan dan aktiviti di bawah Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ).