BATU PAHAT, 8 Oktober: Penuntut dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) diingatkan supaya tidak menyalah guna ilmu yang dipelajari untuk tujuan tidak berfaedah termasuk menipu dan mencuri.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, ijazah yang diperoleh adalah simbol kejayaan mahasiswa atas usaha serta titik peluh mereka dan seharusnya ia tidak disia-siakan.
"Saya ingin berpesan kepada semua graduan supaya carilah rezeki yang halal dan jangan sesekali terpengaruh dengan rakan-rakan yang cetek akal.
"Janganlah graduan menyalah guna ilmu yang dipelajari untuk tujuan tidak berfaedah termasuk menipu dan mencuri.
"Kehidupan di dunia memang banyak cabaran namun jangan pilih jalan pintas untuk berjaya tetapi perlu bermula dari bawah serta sentiasa tingkatkan kualiti diri," titah baginda sempena Majlis Konvokesyen ke-16 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Gabenor Sulawesi Selatan, Indonesia, Dr Syahrul Yasin Limpo atas sumbangan dan kejayaan beliau membangunkan wilayah berkenaan.
Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang juga Pro Canselor UTHM; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga Pro Canselor UTHM; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr Jamilus Md Hussin dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.
Sultan Ibrahim bertitah, graduan juga perlu sentiasa berusaha mencari kerja selepas menamatkan pengajian dan tidak terlalu memilih pekerjaan.
"Segulung ijazah tidak menjanjikan kehidupan yang baik jika tidak disertakan dengan usaha gigih apatah lagi dalam dunia penuh cabaran dan perlumbaan ini," titah baginda.
Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM, turut menitahkan agar graduan tidak lupa membalas jasa serta pengorbanan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.
Baginda bertitah, graduan tidak seharusnya sombong dengan ilmu pengetahuan yang ada kerana tanpa doa restu keluarga, kejayaan yang diperoleh tidak bermakna.
0 comments:
Post a Comment