Sunday, November 18, 2018

Graduan perlu bijak guna media baharu - Sultanah Terengganu


KUALA NERUS, 17 Nov – Graduan diingatkan supaya memanfaatkan penggunaan media baharu demi kebaikan ummah dan bukannya memecah belah serta memudaratkan masyarakat, titah Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Baginda turut menasihatkan golongan itu agar berfikiran lebih kritis dan bijak menilai setiap perkara baharu yang dibawa oleh media berkenaan.

"Penggunaan media baharu pada masa kini berkembang dengan begitu pesat. Oleh itu, beta mahu para graduan menggunakan platform ini sebagai ruang menyatukan ummah. Setiap isu dan perkara yang timbul juga perlu dinilai secara objektif.

“Hal ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan jati diri para graduan yang menjadi contoh kepada masyarakat. Selain itu, beta juga menasihatkan para graduan supaya mengelak daripada terjebak dengan masalah moral dan gejala sosial yang semakin merebak termasuk di kalangan golongan berpendidikan tinggi," titah Sultanah Nur Zahirah.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Majlis Idul Ilmi (Konvokesyen) UniSZA Kali Ke-10 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Pada majlis itu juga, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Al- Quran kepada Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad atas jasa baktinya dalam bidang musabaqah tilawah, hafazan dan pentadbiran pusat Maahad Tahfiz Al-Quran.

Majlis Idul Ilmi (Konvokesyen) UniSZA yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan seramai 2,836 graduan termasuk penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dalam pelbagai bidang. - BERNAMA

Bukan Melayu tiada hak tuntut ratifikasi ICERD


BANGI, 17 Nov – Kaum bukan Melayu tidak mempunyai asas kukuh untuk menyokong serta menuntut apa yang terkandung dalam Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). 

Pensyarah Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Low Yong San, sebaliknya berkata, mereka sepatutnya memahami fakta sejarah politik negara terlebih dahulu sebelum membangkitkan isu konvensyen antarabangsa berkenaan.

Beliau menegaskan, ada dua fakta yang kaum bukan Melayu harus faham, iktiraf dan hormati sebelum menuntut kerajaan meratifikasi ICERD.

Pertama, katanya, sebelum kebanyakan kaum bukan Melayu diberi kewarganegaraan, malah sebelum penjajahan British ke atas Tanah Melayu lagi, negara sudah diperintah oleh Raja-raja Melayu, malah British terpaksa mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu untuk meligitimasikan penjajahannya.

“Sebelum kebanyakan kaum bukan Melayu memperoleh kewarganegaraan, malah sebelum penjajahan British di tanah Melayu, satu sistem pemerintahan moden yang berpaksikan kepada Raja-raja Melayu telah diasaskan di negeri-negeri Melayu di Malaya.

“Kerajaan kolonial British juga terpaksa mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu, sama ada secara sukrela atau paksaan, untuk meligitimasikan penjajahan British di Malaya,” katanya seperti dipetik akhbar Utusan Malaysia.
Dr. Low Yong San
Mengulas lanjut Yong San berkata, fakta kedua yang perlu dihadam ialah sepanjang pemerintahan British, mereka telah mengiktiraf kedudukan sah Raja-Raja Melayu, malah turut mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal di Malaysia.

“British juga telah mengiktiraf kedudukan istimewa kaum Melayu sebagai penduduk asal (Bumiputera/Peribumi) serta melaksanakan sistem politik dan pemerintahan yang bertunjangkan kaum Melayu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, agak mengejutkan apabila terdapat segelintir pemimpin Melayu sendiri yang menyokong dan berkehendak agar ICERD diratifikasi.

Justeru beliau berkata, sebagai langkah menghentikan polemik ICERD, Majlis Raja-Raja boleh membuat kenyataan atau menyatakan pendirian rasmi berhubung isu ini.

Terdahulu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berterus terang berhubung tujuan ratifikasi bagi mengelakkan berlakunya bantahan, sebaliknya mereka menuntut Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan.
Tun Abdul Hamid Mohamad
“Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara 153 dan dasar yang bersifat diskriminasi kaum yang telah dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dimansuhkan.

“Untuk mengelak bantahan orang Melayu dan kaum Bumiputera, mereka mengatakan bahawa pengesahan tidak akan melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu tidak betul,” katanya.- UTUSAN

Tuesday, November 13, 2018

421,706 calon duduki SPM 2018 seluruh negara

Oleh Mohamad Ridzuan Mohd Anwar
13 November 2018


KAJANG: Seramai 421, 706 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 bermula hari ini sehingga 13 Disember depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata daripada jumlah itu sebanyak 3,308 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara membabitkan 33, 631 petugas peperiksaan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga mensasarkan jumlah peningkatan keputusan peperiksaan SPM tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

“Tetapi saya ingin tekankan di sini bahawa kejayaan keputusan SPM bukan perkara paling penting dalam KPM.

“Apa yang penting mereka dapat mengaplikasikan ilmu itu dalam kehidupan untuk kesejahteraan negara,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga sudah memikirkan kemungkinan berlaku banjir di pusat peperiksaan yang berisiko tinggi.

“Kita sudah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) di mana kita akan menempatkan pelajar-pelajar serta pegawai bertugas di pusat peperiksaan yang baharu sekiranya berlaku banjir.

“Semua petugas sudah dimaklumkan mengenai SOP ini dah kerjasama daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kelancaran sewaktu SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir memberikan sokongan kepada calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, di sini hari ini.

Sementara itu, SMK Saujana Impian menempatkan dua pusat peperiksaan membabitkan seramai 496 calon menduduki SPM tahun ini. 

Dedikasi Konsep JDT buat calon SPM & STPM


Kepada adik-adik calon peperiksaan SPM & STPM 2018 yang bermula hari ini 13 November, mari sama-sama 'apply' konsep JDT dalam menghadapi exam ini.

Jawab Dengan Tenang,



Jawab Dengan Teratur,


Jawab Dengan Terbaik,


Jawapan Diberi Tepat.


Dan yg paling penting ! 


Jangan Derhaka Tuhan. 
- Jaga & Perelokkan Solat. Banyak berdoa & selawat. 

Jangan Dilupakan Tuan.
- Ibu Bapa & Guru

Mohon doa & restu mereka.


Dalam Dewan, 

Jangan Dok Tiru !

Xdapat jawab ?

Jangan Dok Tenung membe sebelah atau Pengawai Peperiksaan ! 

Jujur Dengan Tindakan.

SELAMAT MAJU JAYA. Insha Allah Amin... 

Anda pasti Cemerlang !
Janji Dah Tekun belajar😎

Last sekali..,
Jaga Diri Tu okay ! 😜

Monday, November 12, 2018

Ibu sebak terima ijazah anak


Oleh Mohd Khairul Anam Md Khairudin
11 November 2018


GOMBAK: Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Allahyarham Raudhah Nasuhah Mokhtar yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya, September lalu menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UIAM Ke-34, hari ini.

Ibu Allahyarham, Rahimah Ahmad Shah, 57, menerima Ijazah Anumerta Sarjana Muda Kejuruteraan (Bahan) dengan kepujian bagi pihak anaknya yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Gabenor UIAM, Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshee.

Rahimah ketika ditemui berkata, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya ketika nama anaknya diumumkan untuk menerima ijazah.

Katanya, beliau berbangga dengan pencapaian anaknya itu, malah lebih menggembirakan kesembilan-sembilan anaknya berjaya melanjutkan pengajian di menara gading.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan ini. Saya memang beberapa hari ini asik menangis sahaja teringatkan dia (Raudhah). Pagi tadi (semalam) kami semua ke kubur dahulu menziarahi arwah.

“Tiada kata-kata terakhir sebab ketika kejadian (kemalangan) kami di Pontian, Johor, arwah di Klang, Selangor, tiba-tiba dapat panggilan memaklumkan dia maut dalam kemalangan.

“Memang terperanjatlah sebab dia tidak sakit.Ibu tunggal itu berkata, anak ketujuhnya dari sembilan beradik adalah seorang yang pendiam tetapi cukup membahagiakan keluarga.

“Harapan setiap ibu sudah tentu mahu lihat dia seperti berkahwin, apapun saya redha dengan ketentuan ini tetapi bila lihat ramai-ramai (graduan yang bergraduasi) memang sayu,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkenaan. Yang turut hadir Rektor UIAM, Profesor Emeritus, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. - Berita Harian

Jadikan ilmu suatu rahmat, bukan untuk wang semata-mata - Sultan Kedah


SINTOK, 11 Nov – Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini bertitah menasihati graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) supaya menjadikan ilmu sebagai suatu rahmat dan bukannya untuk mendapatkan wang semata-mata.

Sehubungan itu, baginda yang juga Canselor UUM bertitah agar para graduan dapat mengaplikasikan ilmu dan juga pengalaman diperoleh selama ini demi kepentingan rakyat.

“Sesungguhnya pendidikan di universiti bukan semata-mata sekadar mendapatkan kelulusan untuk mencari pekerjaan tetapi ianya merupakan satu tapak persediaan untuk meneruskan kehidupan yang sempurna di masa hadapan.

“Nasihat Muhammad Yunus, penerima anugerah ‘Nobel Peace Prize’ pada tahun 2006, ‘Be a creative person. Become an entrepreneur’. Ungkapan ini haruslah difikir dengan bijaksana akan maksud yang tersirat.

“Beta berharap para graduan dapat mengambil inspirasi daripada kata-kata hikmah ini agar dapat meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih berjaya, kreatif dan produktif sehingga mampu menjadi ‘pencipta kerja’ dan bukan sekadar ‘pencari kerja’,” titah baginda.

Baginda bertitah pada istiadat pemasyhuran Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu dan pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM di sini hari ini. Istiadat pemasyhuran itu disempurnakan Sultan Sallehuddin.

Turut berangkat ke majlis itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Selain itu, Sultan Sallehuddin turut bertitah para graduan jangan terlalu selesa malah harus bersiap siaga daripada segi fizikal, mental dan rohani untuk menghadapi cabaran mendatang.

Baginda bertitah para graduan haruslah bijak menganalisa persekitaran untuk mencari dimensi baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita sedia maklum bahawa pelbagai gelombang perubahan telah berlaku di seluruh dunia. Dengan munculnya ‘Connected Intelligence Era’, dijangka akan berlaku perubahan akibat pertembungan antara alam manusia, dengan dunia robot.

“Di sinilah cabaran yang perlu ditempuhi oleh para graduan untuk berusaha mewujudkan satu ekosistem baharu yang lebih adil dan saksama serta berpaksikan kesejahteraan. Soal kemanusiaan, seperti keprihatinan, keadilan, kemesraan adalah antara perkara yang harus diberikan perhatian sewajarnya.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita amat bertuah kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman dan makmur, yang menyediakan begitu banyak peluang untuk dimanfaatkan. Namun, kita juga harus akui bahawa kita tidak boleh lari daripada persaingan, sama ada sesama kita, mahupun di peringkat global,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin bertitah para graduan dan seluruh anggota masyarakat bertanggungjawab untuk menggerakkan konsep masyarakat penyayang secara serius kerana pelbagai gejala negatif semakin menular dalam kalangan masyarakat.

“Beta amat berharap, agar para graduan menjadi contoh dan ‘role model’ untuk memastikan masyarakat kita beretika dan mengamalkan sifat kasih sayang,” titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Logistik) kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif PKT Logistics Group Sdn Bhd Datuk Michael Tio.

Seramai 6,156 graduan menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada 4,726 graduan Sarjana Muda dan graduan Pasca Siswazah seramai 1,430 orang pada Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM kali ini. - BERNAMA

Monday, November 5, 2018

Mahasiswa gesa kekalkan pengecualian bayaran balik


Kuala Lumpur, 4 Nov: Pemimpin mahasiswa ralat dengan keputusan kerajaan menghapuskan keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan yang meraih Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (YDP MPP USM) Ahmad Syafiq Mohd Nasir berkata, pihaknya terkejut dengan keputusan itu walhal keistimewaan itu sebenarnya menjadi pembakar semangat kepada majoriti mereka yang tidak mendapat tawaran biasiswa.

Katanya, tidak wajar langkah itu dikenakan selain mereka mempunyai gaji minimum RM1,000 sebulan pula wajib bayar pinjaman dengan kadar tertentu.


“Kita faham Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengalami defisit kerana peminjam yang enggan membayar balik, namun terkilan kerana pengumuman itu menyebabkan mahasiswa ketika ini terjejas.

“Kami rasa terkilan dan ralat kerana ada mahasiswa yang belajar bersungguh-sungguh selain menyeimbangkan akademik serta aktiviti kokurikulum untuk meraih keputusan ijazah sarjana muda kelas pertama.

“Majoriti mahasiswa di institusi pengajian tinggi bergantung kepada PTPTN dan hanya sebilangan kecil yang menerima biasiswa,” katanya.

Beliau yang juga Naib YDP 1 Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan memohon kerajaan menangguhkan atau membatalkan mekanisme itu selain mengekalkan sistem sedia ada.

“Sebelum ini mereka yang enggan membayar balik hanya disenaraihitamkan dan diberi peluang tempoh lanjutan pembayaran pinjaman,” katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Belia Felda Johor Manndzri Nasip, keputusan kerajaan itu ibarat mempermainkan golongan belia yang ‘digula-gulakan’ janji manis manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN pada pilihan raya lalu.