Wednesday, August 10, 2022

Lima Orang Pimpinan PMJ Dilantik Sebagai Duta Perpaduan Johor

Dari kiri: Sallehuddin, Afif Iqmal, Afirul Idris, Saiful Izuan dan Farid selepas menerima Watikah Pelantikan Duta Perpaduan Johor.

Iskandar Puteri, 7 Ogos - Seramai 200 orang mahasiswa dan belia Johor termasuk 5 orang pimpinan tertinggi Pertubuhan Mahasiswa Johor (PMJ) hari ini menerima Watikah Pelantikan Duta Perpaduan Johor yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor YAB Datuk Onn Hafiz Bin Ghazi dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Banquet, Bangunan Sultan Ismail disini.

Mereka adalah Muhammad Sallehuddin Bin Maarop (Universiti Pendidikan Sultan Idris-Setiausaha Agung PMJ), Mohamad Afif Iqmal Bin Azri (Universiti Melaka-Timbalan Pengerusi PMJ), Afirul Idris Bin Ayub Khan (Universiti Sains Malaysia-Pengerusi PMJ), Muhammad Saiful Izuan Bin Osman (Universiti Malaya-Penolong Setiausaha PMJ) dan Muhammad Farid Bin Zainal (Universiti Malaysia Kelantan-Bendahari PMJ).

Duta Perpaduan Johor adalah satu platform melahirkan Orang Muda Johor yang mempunyai kebolehan (hardskill), ketajaman pemikiran dan kemahiran insaniah (softskill) dengan matlamat meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) agar lebih kompetitif serta menguasai aspek 3Cs iaitu Critical Thinking, Creativeness and Communication.

Program ini dibawah anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor, Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Menteri Besar dalam ucapan beliau menggesa golongan belia terutama mereka yang dilantik sebagai Duta Perpaduan Johor 2022 supaya turut terlibat memajukan agenda pembangunan Johor. Beliau berkata, jatuh bangun Negeri Johor terletak di bahu anak muda kerana mereka pewaris kepada kepimpinan negeri ini, pastinya mungkin tidak mampu berdepan situasi mencabar jika barisan pemimpin pelapisnya tidak sehaluan.

"Saya menggesa semua anak muda dan Duta Perpaduan khasnya turun ke akar umbi serta pastikan rakan anda terbabit dalam memajukan agenda pembangunan Johor. Bekerjasamalah dengan kerajaan negeri untuk memberi cadangan konstruktif demi masa depan belia. Saya akan sentiasa bersama anda dalam setiap langkah diambil," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan & Perpaduan Negeri Johor, YB Tuan Ah Soon; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi & Sumber Manusia Negeri Johor, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan & Komunikasi Negeri Johor; YB Cik Norliza Noh; Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, YB Dato’ Amir Nasruddin; Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Salehuddin Haji Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), YB Dato’ Haji Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek & Kesejahteraan Rakyat), Hajah Cik Shubanah Yusuf; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia & Sukarelawan), YB Dato’ Haji On Jabbar@Jaafar; dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Tuan Haji Abd Rahman Salleh.