Sunday, October 28, 2018

IKMAR USM anjur rewang santai ala kenduri Johor

Hari Interaksi Ikatan Mahasiswa/i Johor USM kembalikan Nostalgia Rewang di bumi Pulau Mutiara


PULAU PINANG, 20 Oktober: Lebih 40 orang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) tidak melepaskan peluang menyertai program Rewang Santai Anak Johor yang dianjurkan oleh Ikatan Mahasiswa/i Johor USM.




Program tersebut yang merupakan Hari Interaksi ahli IKMAR USM sempena sidang baharu 2018/2019 diadakan di Dewan Kulinari, Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia, di sini dengan bertemakan “Rewang Kenduri Ala Johor”. 



Nasi Ambeng yang merupakan makanan tradisi Johor dipilih penganjur sebagai menu utama program berkenaan yang disediakan secara rewang bergotong-royong, bermula dengan menyediakan bahan-bahan, memasak beramai-ramai dan menghidangkan serta menjamu makan di dalam dulang atau dipanggil Talam. 

 

Pengarah program, Nurul Izzati Rohani berkata, aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan antara peserta, yang lebih penting ia pasti mengembalikan nostalgia rewang dan mempromosi budaya Johor kepada warga USM khasnya. 

“Ini dapat mengukuhkan ukhwah sesama ahli kami dan juga rakan-rakan yang berasal dari negeri lain untuk menyelami budaya tersendiri orang Johor. Juga kami dapat bersama-sama dengan penasihat, alumni dan senior dalam suasana keluarga yang ceria,” katanya. 


Turut hadir memeriahkan program, barisan Penasihat IKMAR; Prof Dr Mohd Nasir Ibrahim, Dr Hazwan Hussin, Mohd Jaya Johan dan Syukri Saadon serta beberapa orang alumni dan senior IKMAR yang turut sama-sama membantu menyediakan Nasi Ambeng. 



Tambah Nurul Izzati, turut diadakan bacaan Tahlil Ringkas dan sesi penerangan mengenai persatuan bertujuan menghebahkan aktiviti-aktiviti yang telah disusun bagi sidang akademik kali ini untuk makluman umum. 


Sunday, October 21, 2018

Suami isteri sebak terima ijazah anak


BATU PAHAT - Hanya linangan air mata mampu dizahirkan sepasang suami isteri tatkala menerima ijazah milik Allahyarham anak mereka sempena istiadat konvokesyen di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Mahali Jubari, 56, dan Siti Zaleha Mohd Yusof, 44, hadir mewakili kehadiran Allahyarhamah, Nurliyana Ardila, yang meraih Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kepujian).

Menurut Mahali, anak kedua daripada lima beradik itu meninggal dunia tahun lalu, selepas disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak pada usia 25 tahun.

Katanya, tiada ungkapan lain yang mampu digambarkan, selain bangga dan terharu dengan pencapaian Nurliyana apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang sehingga pernah meraih anugerah dekan dalam beberapa semester.

“Memang dari sekolah rendah, arwah dah buktikan kebolehan dia dalam bidang akademik apabila kerap memperoleh keputusan peperiksaan yang baik.

"Malah, sebelum ini pun, dia pernah meluahkan hasrat untuk sambung pengajian di peringkat sarjana sebaik tamat ijazah.

“Namun, ALLAH lebih menyayanginya, dia tak sempat tunaikan hasrat nak sambung sarjana. Pada tahun akhir pengajian pun, barulah Nurliyana menunjukkan masalah kesihatan serius apabila kerap mengadu sakit kepala,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, ijazah khas tersebut disampaikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-18 UTHM bagi sidang pertama.

Ujar Mahali, sebulan sebelum Nurliyana meninggal dunia, mereka sekeluarga dikejutkan dengan keputusan doktor yang memaklumkan puteri keduanya itu menghidap ketumbuhan dalam otak tahap empat.

“Memang terkejut sebaik doktor maklumkan keputusan pemeriksaan itu. Sebab sebelum ini pun, kami dah banyak kali bawa arwah ke klinik, namun keputusan mengatakan Nurliyana hanya menghidap migrain.

“Sebaik mengetahui penyakit yang dialaminya, kami segera mencari jalan termasuk memutuskan untuk Nurliyana menjalani pembedahan.

"Walau bagaimanapun selesai melakukan pembedahan, beliau koma selama dua minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Mac 2017,” katanya yang menetap di Shah Alam.

Tambahnya kini, hanya ijazah itu sahaja menjadi pengganti diri dan pengubat rindu terhadap Allahyarham yang berjaya membuktikan pencapaian terbaik dalam bidang akademik buat kali terakhir sepanjang hanyatnya. - Sinar Harian

Sultan Johor ingatkan graduan tidak leka dengan ijazah


BATU PAHAT, 20 Okt - Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah mengingatkan para graduan supaya jangan leka dan sombong dengan ijazah yang diterima, selain tiada jalan pintas untuk berjaya.

Baginda yang juga Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertitah, walaupun seseorang itu mempunyai ijazah tetapi tidak akan ada nilainya jika gagal untuk mendapatkan kerja dan graduan perlu bermula dari bawah dengan mencari pengalaman terlebih dahulu.

Titah baginda, mencari pengalaman, meningkatkan kemahiran dan menimba pengetahuan sangat penting untuk graduan agar menjadi seorang yang berjaya satu hari kelak.

“Pada masa yang sama, ingin saya mengingatkan jangan terlalu sombong dengan ijazah berkenaan sehingga memilih kerja dan sanggup menganggur serta terus menyusahkan ibu bapa,” titah baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-18 UTHM, di Parit Raja, di sini, hari ini.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor , Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pro Canselor UTHM.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Osman Sapian, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri Aminolhuda Hassan serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Baginda bertitah apabila bekerja kelak, setiap graduan mestilah menjaga nama baik dan reputasi tempat mereka belajar serta berazam untuk menjadi seorang pekerja cemerlang.

“Setiap graduan juga perlulah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, tekun, jujur dan amanah,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan para graduan supaya tidak lupa jasa dan pengorbanan ibu bapa atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan.

“Balaslah budi mereka (ibu bapa) dengan jagalah mereka dengan penuh kasih sayang untuk selama-lamanya,” titah baginda lagi.

Seramai 4,048 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen itu. – Bernama

Graduan jangan terlalu pilih kerja - Sultan Johor


BATU PAHAT, 20 Okt : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menasihati graduan supaya tidak bersikap terlalu memilih pekerjaan sehingga sanggup menganggur dan terus menyusahkan ibu bapa.

Baginda bertitah, tiada jalan pintas untuk berjaya, malah ia perlu bermula dari bawah dengan mencari pengalaman, meningkatkan kemahiran dan terus menimba pengetahuan.

“Perjalanan hidup graduan sebenarnya baru bermula. Jangan leka dengan ijazah yang ada kerana ia tiada nilai jika gagal mendapat kerja.

“Jangan terlalu sombong dengan ijazah yang ada sehingga terlalu memilih kerja dan sanggup menganggur serta terus menyusahkan ibu bapa.

“Apabila mula bekerja nanti, setiap graduan mestilah menjaga nama baik dan reputasi universiti dengan berazam menjadi seorang pekerja cemerlang serta melaksanakan tugas dengan penuh bertanggungjawab, tekun, jujur dan amanah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Parit Raja, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pro-Canselor UTHM.

Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM berkenan menyampaikan diploma dan ijazah kepada 482 graduan pada sesi pertama istiadat konvokesyen berkenaan.

Baginda turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr Ir Jamilus Md Hussein, bagi menghargai pembabitan dan sumbangan beliau dalam industri, komuniti, teknologi, inovasi serta pendidikan tinggi negara.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim juga mengingatkan graduan bahawa kejayaan diraih hendaklah dikongsi bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.

“Janganlah lupa akan jasa dan pengorbanan yang sudah mereka curahkan. Balaslah budi dan jagalah mereka dengan penuh kasih sayang untuk selama-lamanya,” titah baginda. - Berita Harian

Saturday, October 20, 2018

Tiada tawaran baru MyBrain15 - KPM


KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan menegaskan tiada sebarang tawaran baru dibuka untuk mahasiswa memohon menyertai program MyBrain15 tahun ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata perkara itu disebabkan pelaksanaan program itu tidak mendapat kelulusan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) selain faktor ketidakstabilan ekonomi dan kewangan negara.

“Kita tidak dapat membuka tawaran baru untuk mahasiswa memohon (Mybrain15) sebab ia tidak mendapat kelulusan EPU, menyebabkan program terbabit tidak dapat ditawarkan tahun ini.

“Mengenai soalan kenapa tidak meneruskan program terbabit dengan kerjasama swasta, saya ingin memaklumkan bahawa kementerian sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sektor swasta kerana itu memang dasar kita,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) mengenai status program MyBrain15 dan potensinya diteruskan jika mendapat kerjasama pihak swasta.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, selain MyBrain15, kementeriannya menguruskan 14 program penajaan dan biasiswa lain dengan peruntukkan sebanyak RM250 juta.

“Tidak semestinya terlalu bergantung kepada MyBrain kerana kita masih ada program penajaan dan biasiswa lain. Dasar kementerian jelas iaitu mahu memastikan program penajaan ini dilaksanakan, sekali gus menjadi lebih tertumpu dan inklusif serta memenuhi hasrat pemegang taruh,” katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menjelaskan, program MyBrain15 yang dilaksanakan kerajaan terdahulu, ditangguhkan memandangkan dana diperuntukkan tidak mencukupi.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata kelulusan bagi peruntukan program MyBrain15 adalah daripada EPU dan Kementerian Kewangan tetapi peruntukan berkenaan tidak sampai kepada Kementerian Pendidikan. - Berita Harian

Sultan Johor kurniakan 60 hektar tanah untuk rakyat

Oleh SHAFIQ TINO
19 OKTOBER 2018

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan tanah seluas 60 hektar untuk mendirikan 1000 unit rumah mampu milik di negeri ini.

Khabar gembira itu disampaikan anakandanya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook rasminya, sebentar tadi.

"Minggu depan, saya akan melancarkan satu upacara pecah tanah milik Sultan Johor, ia selepas baginda berkenaan mengurniakan tanah untuk membina rumah mampu milik dengan harga bermula RM70,000.

"Kawasan tersebut akan dilengkapi dengan semua kemudahan asas demi keselesaan rakyat," katanya.

Tunku Ismail berkata, sumbangan tersebut direalisasikan setelah dirinya sendiri turun padang dan mendengar sendiri rintihan rakyat menerusi beberapa lawatan yang dilakukan.

Katanya, sumbangan diberikan kepada rakyat itu juga tidak berniat apa-apa malah dianggap sebagai tanggungjawab yang perlu dipenuhi sebagai Tunku Mahkota Johor dan kerabat diraja.

"Sumbangan keluarga diraja Johor kepada rakyat bukan baru minggu lepas tetapi sejak zaman nenek moyang saya lagi iaitu pada tahun 1885. Saya cuma meneruskan legasi almarhum-alamarhum Sultan Johor dan juga ayahanda saya.

"Suka saya nyatakan kepada mereka ini bahawa ini bukan tindakan yang aneh tetapi ia adalah tugas, amanah dan tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota Johor. Saya melakukan kerja ini ikhlas demi kesejahteraan rakyat saya," katanya. - Sinar Harian

KENYATAAN - Program TEMASHOR (TMJ bersama Anak Muda Johor)

[ KENYATAAN ] 

Program TEMASHOR (TMJ bersama Anak Muda Johor) 
Anjuran oleh Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) 

1. PMJ mewakili semua organisasi mahasiswa Johor menzahirkan jutaan terima kasih dan setinggi tahniah kepada kepimpinan MBNJ di atas jemputan kepada kami dan kejayaan menganjurkan program TEMASHOR (TMJ bersama Anak Muda Johor) yang julung kali ini. 

2. Menyokong usaha murni MBNJ itu, delegasi PMJ seramai 34 orang pimpinan mahasiswa Johor dari 9 Universiti Awam hari ini telah hadir ke program tersebut yang diadakan di Thistle Hotel, Johor Bahru. 

3. Apa yang lebih mengujakan ialah, peluang untuk bertemu dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor dan mendengar secara langsung amanat yang disampaikan di dalam program itu. 

4. Semestinya peluang sebegini tidak boleh dan tidak akan dilepaskan. Para hadirin dapat bersua muka dengan DYAM Tunku dengan lebih dekat dan juga bertanyakan soalan atau pandangan baginda berkenaan apa jua terutama berkaitan Negeri Johor. 

5. Ini adalah suatu permulaan yang baik kepada PMJ dan MBNJ bagi mencapai misi bersama yang lebih hebat di masa hadapan. 

6. PMJ menyambut baik, malah mengalu-alukan sebarang jalinan usahasama bersama MBNJ mahupun badan-badan gabungan dalam agenda memperkasa belia Johor khususnya dan memajukan masyarakat amnya. 

7. Kesukarelawanan dan kemasyarakatan juga menjadi bidang tumpuan kami demi menghulur kembali jasa bakti buat Johor negeri tercinta. 

8. Kami bertekad menjunjung tinggi amanat dan pesanan DYAM Tunku yang mahukan Bangsa Johor sentiasa bersatu dan bermuafakat menjadikan Negeri Johor negeri yang lebih baik dan lebih maju. 'The New Economic Power House'. 

"Muafakat Itu Berkat" 
"Kepada Johor Berbakti"

Mohd Najib Bin Samingin 
Setiausaha 
Pertubuhan Mahasiswa Johor
Program TEMASHOR 
Thistle Hotel, Johor Bahru
19 Oktober 2018 


Thursday, October 4, 2018

6 pegawai Bomba lemas: Takziah buat keluarga

Takziah buat ahli keluarga 6 Wira Negara; Pegawai Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia yang meninggal dunia ketika operasi menyelamat pada malam tadi.

Ø¥ِÙ†َّا Ù„ِÙ„ّÙ‡ِ ÙˆَØ¥ِÙ†َّـا Ø¥ِÙ„َÙŠْÙ‡ِ رَاجِعون

Ya Allah Ya Tuhan kami. Ampunilah mereka, rahmatilah mereka, muliakanlah kematian mereka, lapangkanlah kubur mereka, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarga mereka

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas jasa dan pengorbanan mereka. Aminn"

Daripada : Pertubuhan Mahasiswa Johor

Wednesday, October 3, 2018

Bantuan Anak Teksi Dan Kereta Sewa Negeri Johor



Pejabat EXCO Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) melaksanakan bantuan kepada anak pemandu teksi dan kereta sewa di Negeri Johor. 

- Bantuan akan diberikan kepada setiap anak mereka yang masih bersekolah sahaja. 

- Borang permohonan boleh didapati secara percuma di pejabat daerah di seluruh negeri Johor, pejabat Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) atau di laman sesawang rasmi PAJ. 

- Borang yang telah lengkap, sila hantar kepada pejabat daerah di seluruh negeri Johor atau pejabat PAJ sebelum 31 Oktober 2018.

Semua warga Johor yang berkelayakan boleh memohon Bantuan Insentif tersebut. 

Syarat – syarat kelayakan memohon :

1. Warganegara Malaysia.

2. Rakyat Negeri Johor.
3. Pastikan Teksi Anda Tergolong Dalam Kelas Teksi Seperti Berikut : 
     i. Teksi Bajet 
     ii. Teksi Eksekutif 
     iii. Teksi Lapangan Terbang 
     iv. Kereta Sewa 
4. Memiliki Kad Pemandu Yang Sah 
5. Pemandu Pertama & Sepenuh masa 
6. Anak dari isteri pertama yang bersekolah di sekolah kerajaan.

Dokumen yang perlu dilampirkan :

1. Salinan Kad Pengenalan 
Pemohon/Penjaga ;
2. Salinan Kad Pengenalan atau Sijil Kelahiran Anak ;
3. Salinan Kad Pelajar/Perakuan pihak sekolah Anak ; 
4. 
Salinan Kad Pemandu Yang Sah ; dan
5. Salinan Permit dan Lesen Memandu. 

Borang Permohonan boleh di muat turun di pautan berikut :


Sekian untuk makluman semua rakyat Johor.