Sunday, October 28, 2018

IKMAR USM anjur rewang santai ala kenduri Johor

Hari Interaksi Ikatan Mahasiswa/i Johor USM kembalikan Nostalgia Rewang di bumi Pulau Mutiara


PULAU PINANG, 20 Oktober: Lebih 40 orang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) tidak melepaskan peluang menyertai program Rewang Santai Anak Johor yang dianjurkan oleh Ikatan Mahasiswa/i Johor USM.




Program tersebut yang merupakan Hari Interaksi ahli IKMAR USM sempena sidang baharu 2018/2019 diadakan di Dewan Kulinari, Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia, di sini dengan bertemakan “Rewang Kenduri Ala Johor”. 



Nasi Ambeng yang merupakan makanan tradisi Johor dipilih penganjur sebagai menu utama program berkenaan yang disediakan secara rewang bergotong-royong, bermula dengan menyediakan bahan-bahan, memasak beramai-ramai dan menghidangkan serta menjamu makan di dalam dulang atau dipanggil Talam. 

 

Pengarah program, Nurul Izzati Rohani berkata, aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan antara peserta, yang lebih penting ia pasti mengembalikan nostalgia rewang dan mempromosi budaya Johor kepada warga USM khasnya. 

“Ini dapat mengukuhkan ukhwah sesama ahli kami dan juga rakan-rakan yang berasal dari negeri lain untuk menyelami budaya tersendiri orang Johor. Juga kami dapat bersama-sama dengan penasihat, alumni dan senior dalam suasana keluarga yang ceria,” katanya. 


Turut hadir memeriahkan program, barisan Penasihat IKMAR; Prof Dr Mohd Nasir Ibrahim, Dr Hazwan Hussin, Mohd Jaya Johan dan Syukri Saadon serta beberapa orang alumni dan senior IKMAR yang turut sama-sama membantu menyediakan Nasi Ambeng. 



Tambah Nurul Izzati, turut diadakan bacaan Tahlil Ringkas dan sesi penerangan mengenai persatuan bertujuan menghebahkan aktiviti-aktiviti yang telah disusun bagi sidang akademik kali ini untuk makluman umum. 


1 comment:

  1. Alhamdulillah...moga tradisi IKMAR dr dahulu berterusan sampai bila-bila.

    ReplyDelete