Sunday, October 21, 2018

Suami isteri sebak terima ijazah anak


BATU PAHAT - Hanya linangan air mata mampu dizahirkan sepasang suami isteri tatkala menerima ijazah milik Allahyarham anak mereka sempena istiadat konvokesyen di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Mahali Jubari, 56, dan Siti Zaleha Mohd Yusof, 44, hadir mewakili kehadiran Allahyarhamah, Nurliyana Ardila, yang meraih Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kepujian).

Menurut Mahali, anak kedua daripada lima beradik itu meninggal dunia tahun lalu, selepas disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak pada usia 25 tahun.

Katanya, tiada ungkapan lain yang mampu digambarkan, selain bangga dan terharu dengan pencapaian Nurliyana apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang sehingga pernah meraih anugerah dekan dalam beberapa semester.

“Memang dari sekolah rendah, arwah dah buktikan kebolehan dia dalam bidang akademik apabila kerap memperoleh keputusan peperiksaan yang baik.

"Malah, sebelum ini pun, dia pernah meluahkan hasrat untuk sambung pengajian di peringkat sarjana sebaik tamat ijazah.

“Namun, ALLAH lebih menyayanginya, dia tak sempat tunaikan hasrat nak sambung sarjana. Pada tahun akhir pengajian pun, barulah Nurliyana menunjukkan masalah kesihatan serius apabila kerap mengadu sakit kepala,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, ijazah khas tersebut disampaikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-18 UTHM bagi sidang pertama.

Ujar Mahali, sebulan sebelum Nurliyana meninggal dunia, mereka sekeluarga dikejutkan dengan keputusan doktor yang memaklumkan puteri keduanya itu menghidap ketumbuhan dalam otak tahap empat.

“Memang terkejut sebaik doktor maklumkan keputusan pemeriksaan itu. Sebab sebelum ini pun, kami dah banyak kali bawa arwah ke klinik, namun keputusan mengatakan Nurliyana hanya menghidap migrain.

“Sebaik mengetahui penyakit yang dialaminya, kami segera mencari jalan termasuk memutuskan untuk Nurliyana menjalani pembedahan.

"Walau bagaimanapun selesai melakukan pembedahan, beliau koma selama dua minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Mac 2017,” katanya yang menetap di Shah Alam.

Tambahnya kini, hanya ijazah itu sahaja menjadi pengganti diri dan pengubat rindu terhadap Allahyarham yang berjaya membuktikan pencapaian terbaik dalam bidang akademik buat kali terakhir sepanjang hanyatnya. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment