Sunday, October 21, 2018

Graduan jangan terlalu pilih kerja - Sultan Johor


BATU PAHAT, 20 Okt : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menasihati graduan supaya tidak bersikap terlalu memilih pekerjaan sehingga sanggup menganggur dan terus menyusahkan ibu bapa.

Baginda bertitah, tiada jalan pintas untuk berjaya, malah ia perlu bermula dari bawah dengan mencari pengalaman, meningkatkan kemahiran dan terus menimba pengetahuan.

“Perjalanan hidup graduan sebenarnya baru bermula. Jangan leka dengan ijazah yang ada kerana ia tiada nilai jika gagal mendapat kerja.

“Jangan terlalu sombong dengan ijazah yang ada sehingga terlalu memilih kerja dan sanggup menganggur serta terus menyusahkan ibu bapa.

“Apabila mula bekerja nanti, setiap graduan mestilah menjaga nama baik dan reputasi universiti dengan berazam menjadi seorang pekerja cemerlang serta melaksanakan tugas dengan penuh bertanggungjawab, tekun, jujur dan amanah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Parit Raja, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pro-Canselor UTHM.

Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM berkenan menyampaikan diploma dan ijazah kepada 482 graduan pada sesi pertama istiadat konvokesyen berkenaan.

Baginda turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr Ir Jamilus Md Hussein, bagi menghargai pembabitan dan sumbangan beliau dalam industri, komuniti, teknologi, inovasi serta pendidikan tinggi negara.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim juga mengingatkan graduan bahawa kejayaan diraih hendaklah dikongsi bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.

“Janganlah lupa akan jasa dan pengorbanan yang sudah mereka curahkan. Balaslah budi dan jagalah mereka dengan penuh kasih sayang untuk selama-lamanya,” titah baginda. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment