KUALA LUMPUR, 14 Feb. – Tiga pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menerima biasiswa daripada Johor Corporation (JCorp) untuk bekerja di firma audit di London dan mengikuti program profesional Institute of Chartered Accountants, England and Wales (ICAEW).
Pelajar jurusan Sarjana Muda Perakaunan terbabit ialah Shafreena Mirza Tariq Beg, Noor Liyana Hajar Bakri dan Fiza Ismail yang telah menamatkan pengajian mereka tahun lalu.
Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kejayaan tersebut sangat berharga kerana telah membuktikan keupayaan universiti terbabit dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing.
“Ketiga-tiga pelajar tersebut berkemungkinan akan bekerja di firma audit di London selama tiga tahun, namun tertakluk kepada perjanjian mereka dengan pihak JCorp.
“Saya berharap pengalaman yang diperoleh di tempat tersebut dibawa pulang ke Malaysia untuk membantu membangunkan negara memandangkan bukan mudah untuk pelajar mendapat peluang keemasan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Ketiga-tiga pelajar berkenaan telah menjalani sesi temuduga yang sengit apabila terpaksa melalui 11 jenis penilaian oleh JCorp dan perlu bersaing dengan lebih 100 calon lain yang mempunyai pengalaman kerja dalam pelbagai bidang.
Menurut Sahol Hamid, pengalaman serta komitmen pensyarah UiTM dalam memberi tunjuk ajar kepada siswazah-siswazah itu tidak seharusnya dilupakan.
“Tanpa didikan daripada tenaga pengajar UiTM, mereka mungkin tidak mencapai kejayaan tersebut,” katanya.
0 comments:
Post a Comment