YPJ Laksana Pelbagai Program Tingkat Tahap Pendidikan Kemahiran Pelajar
JOHOR BAHRU, 1 Feb. - Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperuntukkan RM33 juta untuk pemberian biasiswa dan penganjuran pelbagai program bagi memperkasakan sektor pendidikan sepanjang tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak RM1.3 juta adalah biasiswa kepada pelajar daripada keluarga miskin bermula tingkatan satu hingga enam.
“YPJ memberikan RM600 setahun bagi setiap pelajar tersebut dari tingkatan satu hingga lima, manakala untuk tingkatan enam dan sekolah tinggi agama pula sebanyak RM1,000 setahun. Secara keseluruhan, kerajaan telah membelanjakan RM18 juta yang memberi manfaat kepada 42,000 pelajar.
“Jika ada ibu bapa dengan pendapatan kurang RM1,500 dan anak mereka mendapat pencapaian sekurang-kurangnya 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), mereka layak menerima biasiswa tersebut,” katanya semasa melancarkan Program Kepimpinan Muda Johor 2015 di Dewan Serbaguna Taman Mawar, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hajah Normala Abdul Samad; Pengurus Besar YPJ, On Jabbar; Pengarah Pendidikan negeri, Aminudin Adam; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Md. Za’nal Misran dan Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn Bhd, Elias Hasran.
Menteri Besar berkata, peruntukan untuk pinjaman pengajian tinggi YPJ pada tahun ini pula sebanyak RM19.63 juta dan menyifatkan skim yang ditawarkan YPJ lebih baik daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Antaranya, YPJ memberi rebat kepada pembayaran pinjaman segera selain diskaun bagi pelajar yang mendapat pencapaian cemerlang seperti kepujian kelas kedua atas (dan lebih baik),” katanya.
Selain bantuan untuk kemasukan ke universiti sebanyak RM1,000 untuk peringkat ijazah dan RM500 bagi diploma, agensi kerajaan negeri itu juga memperuntukkan RM2 juta untuk program tuisyen bagi pelajar aliran sains yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
SUMBER : Utusan Online
0 comments:
Post a Comment