Saturday, May 25, 2019

Semua pelajar UniSZA dapat duit raya [Untung la]

20 Mei 2019


KUALA NERUS - Seramai 9,910 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menerima 'duit raya' berjumlah RM495,500 menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, sumbangan duit raya itu akan diberikan kepada semua pelajar diploma dan ijazah di universiti berkenaan.

"Sumbangan duit raya kepada semua pelajar diploma dan ijazah ini merupakan julung kali diadakan oleh UniSZA manakala majlis iftar menjadi tradisi UniSZA diadakan setiap kali Ramadan.

"Sumbangan mencerminkan komitmen universiti dalam menjaga kebajikan pelajar. Universiti juga berhasrat menyuburkan budaya kasih sayang dan berharap pelajar gembira sepanjang belajar di UniSZA" katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Iftar Perdana bersama pelajar UniSZA dan komuniti sekitar di universiti itu malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh.

Sementara itu, Dr Mohd Afandi berkata, setiap pelajar diploma dan ijazah bakal menerima duit raya sebanyak RM50 setiap orang termasuk pelajar bukan Muslim menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sumber : Sinar Harian

Thursday, May 16, 2019

Wednesday, May 15, 2019

Mahasiswa IKMAR USM kongsi inovasi dengan warga Felda

13 Mei 2019

Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPTIMA) di Kampung Felda Bukit Batu, Kulai, Johor pada 3 hingga 5 Mei yang lalu. 

Menurut Pengarah Program, Saiful Nizam Samsul Bahari, melalui program seperti ini IKMAR USM memberikan peluang kepada peserta untuk bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan. 

“Program tahunan ini bukan sahaja disertai oleh ahli-ahli IKMAR, malah menarik minat mahasiswa USM yang lain daripada negeri Selangor, Kedah dan Perak untuk turut menyertai”, kata beliau. 

Tambah beliau, program ini juga dijadikan platform untuk mahasiswa berkongsi pengetahuan dan inovasi daripada universiti kepada masyarakat setempat. 

“Keistimewaan OPTIMA kali ini ialah kami mengadakan Bengkel Baja Kompos melalui kerjasama Pusat Pengajian Teknologi Industri USM dan Pejabat Pertanian Daerah Kulai. 

“Iaitu kami memperkenalkan satu produk inovasi dikenali Azolla kepada penduduk kampung”, jelas beliau yang merupakan mahasiswa tahun dua Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM. 

Menurut beliau, penggunaan baja organik Azolla hanya memerlukan kos yang rendah kerana ia adalah sejenis tumbuhan yang kaya dengan protein untuk dijadikan baja tanaman dan juga makanan haiwan ternakan. 

Pada bengkel itu juga, Pejabat Pertanian Daerah Kulai telah menyumbangkan tiga jenis anak pokok iaitu durian musang king, jambu dan rambutan yang diberikan kepada setiap keluarga yang menyertai bengkel tersebut. 

Aktiviti-aktiviti lain yang turut dijalankan sepanjang OPTIMA ialah pemeriksaan kesihatan percuma dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kulai, gotong-royong bersama penduduk kampung, melukis mural di tadika dan program bersama pelajar Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Batu.

IKMAR USM juga berkesempatan menyampaikan bantuan sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada beberapa keluarga asnaf di kampung tersebut.

Perasmian OPTIMA telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kulai, Tuan Haji Mohd Khir Johari Haji Salleh, yang juga merupakan alumni USM manakala majlis penutupan pula disempurnakan oleh Encik Mohammad Adzhar Bin Johari, wakil rasmi kepada Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains Dan Teknologi Negeri Johor.