Wednesday, August 1, 2018

" Kenapa Aku Gagal Mohon Kerja Kerajaan ?! "

Apaaa ?? Gagal lagi ??

“ Aku dah malas nak mohon kerja kerajaan lepas ni.

“ Macam membazir duit aku nak fotostat sijil bagai. Buang minyak je pergi sana-sini minta cop.

= = = = = = = = =
Ramai kecewa bila gagal memohon jawatan sektor kerajaan.
Mungkin ramai tidak sedar ataupun tidak tahu, apakah sebab utama kegagalan tersebut.

Kami kongsikan salah satu faktor ‘KENAPA ANDA GAGAL DALAM MEMOHON JAWATAN KOSONG SEKTOR KERAJAAN ?’.

Ingat ya ! Ini cuma salah satu faktor sahaja. Bukan faktor utama yang menyebabkan permohonan anda itu gagal.

Lihat pada Gambar 1.

Ini salah satu contoh Borang Permohonan Jawatan Kosong dalam Perkhidmatan Awam.
Sama ada peringkat Kerajaan Negeri ataupun Kerajaan Persekutuan.

Lihat dan teliti pada ruang “Keputusan Pengajian Tinggi”. Pemohon perlu mengisi lengkap setiap ruang pada Borang. Itu semua maklum lah kan. Tetapi ramai pemohon yang terlepas pandang. Apa dia ?

Perhatikan, terdapat arahan kecil di situ yang tertulis : ** Sila sertakan Salinan Surat Pengiktirafan Kelayakan Kursus daripada JPA.

Bagi anda pemohon ‘fresh graduate’, adakah anda faham maksud arahan ini ?

Semestinya anda akan tertanya-tanya, 1-Surat apakah itu ; 2-Di mana mahu mendapatkan Pengiktirafan Kelayakan itu?

Kami terangkan dahulu, 1-apakah itu Surat Pengiktirafan Kelayakan Kursus daripada JPA ?

Kelayakan Yang Diiktiraf atau Kelayakan Yang Diiktiraf Setaraf adalah menjadi salah satu syarat utama untuk pelantikan dalam Perkhidmatan Awam sebagaimana yang dinyatakan dalam skim-skim perkhidmatan.

Ini ada dinyatakan di dalam Perkara 17 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2002 (Baca sini). Pekeliling berkenaan memaklumkan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) perlu menyemak status pengiktirafan kelayakan calon-calon dalam urusan pelantikan ke jawatan-jawatan dalam Perkhidmatan Awam seperti yang disyaratkan dalam skim-skim perkhidmatan. (Sumber : Laman web JPA)

Ok sudah jelas berkenaan itu. Soalan kedua pula.
2-Di mana mahu mendapatkan Pengiktirafan Kelayakan itu?

Pengiktirafan Kelayakan dari Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara adalah melibatkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Pertama sahaja.

Semakan kelayakan boleh dibuat melalui laman web eSisraf (https://app.moe.gov.my/iktiraf).

Lihat pada Gambar 2.

Setelah anda membuka laman web itu, sila klik menu Semakan Kelayakan.

Pilih ‘Negara’ ; Malaysia (Jika institusi tempatan) atau Negara-negara lain (Jika institusi Luar Negara)
Pilih ‘Institusi’ anda. Kemudian klik ‘SEMAK’.

Selepas itu, akan tertera Senarai Rekod Kelayakan.
Pilih dan klik pada Nama Kursus anda yang betul.
Lihat pada Gambar 3.

Pastikan anda dipaparkan berkenaan butiran kursus anda tersebut.
Kemudian anda klik ‘CETAK’.

Lihat pada Gambar 4.

Anda akan dipaparkan Surat yang dijana automatik oleh sistem dengan tajuk PENGIKTIRAFAN KELAYAKAN.

Pastikan butiran Nama Kursus anda, Negara, Institusi, Bidang dan Mod Program yang dipaparkan adalah betul.

Jika semua butiran betul, anda boleh terus mencetak Surat tersebut. Atau memuat turun dan simpan untuk keperluan anda.

Jangan tak percaya ! Jika kami katakan, dalam banyak Borang yang diterima, hanya kurang 10 Borang sahaja yang melepasi proses ini: Semakan Borang/Dokumen. Sedih bukan ? Jadi apabila gagal, ini tiada kena-mengena "cable besar ke kecik" "cable bawah tanah ke bawah meja" atau sebagainya. Tetapi ini kesilapan teknikal dari pihak pemohon sendiri.

Jadi, selesailah antara ‘part paling penting’ jika anda ingin mohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam.

Namun mesti diingat, salinan Pengiktirafan Kelayakan ini juga adalah dokumen yang mesti Diakui Sah oleh Pegawai Yang Memperakui bersama-sama dokumen lain juga.

Jika ia tidak Diakui Sah, atau ada dokumen lain begitu juga, maka berpotensi lah Borang anda diasingkan kepada “Borang/Dokumen Tidak Lengkap” yang membuatkan permohonan anda tidak diproses.

Di peringkat semakan dokumen sahaja nama anda sudah tidak lepas. Belum lagi peringkat Senarai Pendek untuk Ditemuduga. Jadi, jangan terlalu ambil mudah atau kata orang tua “sambil lewa”.

" Kami kongsi kepada anda, anda kongsi lah sama kawan lain. 
" Sama-sama berjaya dapat kerja, kan bagus. 
" Tapi jangan lupa credit article kepada kami. Hehe.. 

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment