Monday, November 12, 2018

Ibu sebak terima ijazah anak


Oleh Mohd Khairul Anam Md Khairudin
11 November 2018


GOMBAK: Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Allahyarham Raudhah Nasuhah Mokhtar yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya, September lalu menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UIAM Ke-34, hari ini.

Ibu Allahyarham, Rahimah Ahmad Shah, 57, menerima Ijazah Anumerta Sarjana Muda Kejuruteraan (Bahan) dengan kepujian bagi pihak anaknya yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Gabenor UIAM, Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshee.

Rahimah ketika ditemui berkata, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya ketika nama anaknya diumumkan untuk menerima ijazah.

Katanya, beliau berbangga dengan pencapaian anaknya itu, malah lebih menggembirakan kesembilan-sembilan anaknya berjaya melanjutkan pengajian di menara gading.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan ini. Saya memang beberapa hari ini asik menangis sahaja teringatkan dia (Raudhah). Pagi tadi (semalam) kami semua ke kubur dahulu menziarahi arwah.

“Tiada kata-kata terakhir sebab ketika kejadian (kemalangan) kami di Pontian, Johor, arwah di Klang, Selangor, tiba-tiba dapat panggilan memaklumkan dia maut dalam kemalangan.

“Memang terperanjatlah sebab dia tidak sakit.Ibu tunggal itu berkata, anak ketujuhnya dari sembilan beradik adalah seorang yang pendiam tetapi cukup membahagiakan keluarga.

“Harapan setiap ibu sudah tentu mahu lihat dia seperti berkahwin, apapun saya redha dengan ketentuan ini tetapi bila lihat ramai-ramai (graduan yang bergraduasi) memang sayu,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkenaan. Yang turut hadir Rektor UIAM, Profesor Emeritus, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. - Berita Harian

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment