Monday, November 12, 2018

Jadikan ilmu suatu rahmat, bukan untuk wang semata-mata - Sultan Kedah


SINTOK, 11 Nov – Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini bertitah menasihati graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) supaya menjadikan ilmu sebagai suatu rahmat dan bukannya untuk mendapatkan wang semata-mata.

Sehubungan itu, baginda yang juga Canselor UUM bertitah agar para graduan dapat mengaplikasikan ilmu dan juga pengalaman diperoleh selama ini demi kepentingan rakyat.

“Sesungguhnya pendidikan di universiti bukan semata-mata sekadar mendapatkan kelulusan untuk mencari pekerjaan tetapi ianya merupakan satu tapak persediaan untuk meneruskan kehidupan yang sempurna di masa hadapan.

“Nasihat Muhammad Yunus, penerima anugerah ‘Nobel Peace Prize’ pada tahun 2006, ‘Be a creative person. Become an entrepreneur’. Ungkapan ini haruslah difikir dengan bijaksana akan maksud yang tersirat.

“Beta berharap para graduan dapat mengambil inspirasi daripada kata-kata hikmah ini agar dapat meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih berjaya, kreatif dan produktif sehingga mampu menjadi ‘pencipta kerja’ dan bukan sekadar ‘pencari kerja’,” titah baginda.

Baginda bertitah pada istiadat pemasyhuran Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu dan pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM di sini hari ini. Istiadat pemasyhuran itu disempurnakan Sultan Sallehuddin.

Turut berangkat ke majlis itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Selain itu, Sultan Sallehuddin turut bertitah para graduan jangan terlalu selesa malah harus bersiap siaga daripada segi fizikal, mental dan rohani untuk menghadapi cabaran mendatang.

Baginda bertitah para graduan haruslah bijak menganalisa persekitaran untuk mencari dimensi baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita sedia maklum bahawa pelbagai gelombang perubahan telah berlaku di seluruh dunia. Dengan munculnya ‘Connected Intelligence Era’, dijangka akan berlaku perubahan akibat pertembungan antara alam manusia, dengan dunia robot.

“Di sinilah cabaran yang perlu ditempuhi oleh para graduan untuk berusaha mewujudkan satu ekosistem baharu yang lebih adil dan saksama serta berpaksikan kesejahteraan. Soal kemanusiaan, seperti keprihatinan, keadilan, kemesraan adalah antara perkara yang harus diberikan perhatian sewajarnya.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita amat bertuah kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman dan makmur, yang menyediakan begitu banyak peluang untuk dimanfaatkan. Namun, kita juga harus akui bahawa kita tidak boleh lari daripada persaingan, sama ada sesama kita, mahupun di peringkat global,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin bertitah para graduan dan seluruh anggota masyarakat bertanggungjawab untuk menggerakkan konsep masyarakat penyayang secara serius kerana pelbagai gejala negatif semakin menular dalam kalangan masyarakat.

“Beta amat berharap, agar para graduan menjadi contoh dan ‘role model’ untuk memastikan masyarakat kita beretika dan mengamalkan sifat kasih sayang,” titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Logistik) kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif PKT Logistics Group Sdn Bhd Datuk Michael Tio.

Seramai 6,156 graduan menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada 4,726 graduan Sarjana Muda dan graduan Pasca Siswazah seramai 1,430 orang pada Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM kali ini. - BERNAMA

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment