Monday, October 2, 2017

KPYPJ Meterai MoU, Latih Tenaga Kerja Projek RAPID


JOHOR BAHRU, 1 Okt. – Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan penyedia latihan dan 10 majikan daripada industri minyak dan gas bagi menyediakan tenaga kerja untuk Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang. 


Selain itu, KPYPJ melantik lapan kontraktor utama RAPID sebagai Penasihat Jawatankuasa Teknikal bagi memantau kursus jangka pendek agar mengikut piawaian yang ditetapkan. 

Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu bertujuan untuk membolehkan rakyat Johor dapat mengambil manfaat daripada pelaburan dan kehadiran syarikat di negeri ini. 

Beliau berkata, usaha untuk mengupayakan masyarakat perlu dilakukan dan ia sebenarnya cabaran yang lebih besar. 

“Mereka harus difahamkan bahawa tiada jalan pintas (untuk berjaya), tetapi perlu ilmu, kemahiran dan latihan. 

“Kita mahu semua pekerjaan ini dapat diambil manfaat oleh rakyat Johor dan kita yakin mereka boleh memenuhi peluang pekerjaan yang ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan MoU Di Antara KPYPJ dan Organisasi Industri Minyak dan Gas di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Dato’ Zulkurnain Kamisan dan Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Rashid A Rahman. 

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penyediaan tenaga kerja industri minyak dan gas di Pengerang sememangnya adalah tumpuan, komitmen dan iltizam Kerajaan Negeri. 

“Jika tidak, rakyat Johor hanya akan jadi ‘penonton’ dan mendatangkan masalah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan. 

“Mereka juga dibimbangi akan mempunyai persepsi tidak betul seolah-olah pelaburan dan pekerjaan yang wujud adalah untuk orang luar akibat kebencian yang ditimbulkan sesetengah pihak terhadap kerajaan,” katanya. 

Mengenai kursus itu, Mohamed Khaled berkata, latihan itu tidak begitu membebankan kerana kebanyakkannya mengambil masa satu hingga dua bulan saja. 

“Permulaan gaji bagi mereka yang berkemahiran paling minima ialah RM1,500 hingga RM1,800 untuk juruteknik, manakala inspektor pemasangan perancah pula RM4,000,” katanya sambil menjelaskan kerajaan akan berusaha untuk mengubah pemikiran rakyat dalam aspek itu. 

Beliau berkata, bidang kemahiran sebenarnya mempunyai laluan kerjaya lebih baik dan sebagai alternatif kepada bidang akademik. 

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata institusi pendidikan dan latihan tidak seharusnya terpisah daripada pihak industri. 

“Kerjasama dan sinergi sebegini boleh menjadi salah satu instrumen tanggungjawab sosial korporat yang baik dan bermakna. 

“Ini adalah permulaan baik kepada institusi seperti KPYPJ untuk menjadi peneraju dalam melahirkan graduan berkemahiran yang diiktiraf,” katanya. 

Setakat ini, KPYPJ telah melatih 276 orang dan kesemuanya telah menyertai industri terbabit. 

RAPID Pengerang memerlukan tenaga kerja mahir seramai 54,000 orang dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran, apabila ia siap dan beroperasi sepenuhnya pada 2019. 

0 comments:

Post a Comment