Wednesday, August 10, 2022

Lima Orang Pimpinan PMJ Dilantik Sebagai Duta Perpaduan Johor

Dari kiri: Sallehuddin, Afif Iqmal, Afirul Idris, Saiful Izuan dan Farid selepas menerima Watikah Pelantikan Duta Perpaduan Johor.

Iskandar Puteri, 7 Ogos - Seramai 200 orang mahasiswa dan belia Johor termasuk 5 orang pimpinan tertinggi Pertubuhan Mahasiswa Johor (PMJ) hari ini menerima Watikah Pelantikan Duta Perpaduan Johor yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor YAB Datuk Onn Hafiz Bin Ghazi dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Banquet, Bangunan Sultan Ismail disini.

Mereka adalah Muhammad Sallehuddin Bin Maarop (Universiti Pendidikan Sultan Idris-Setiausaha Agung PMJ), Mohamad Afif Iqmal Bin Azri (Universiti Melaka-Timbalan Pengerusi PMJ), Afirul Idris Bin Ayub Khan (Universiti Sains Malaysia-Pengerusi PMJ), Muhammad Saiful Izuan Bin Osman (Universiti Malaya-Penolong Setiausaha PMJ) dan Muhammad Farid Bin Zainal (Universiti Malaysia Kelantan-Bendahari PMJ).

Duta Perpaduan Johor adalah satu platform melahirkan Orang Muda Johor yang mempunyai kebolehan (hardskill), ketajaman pemikiran dan kemahiran insaniah (softskill) dengan matlamat meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) agar lebih kompetitif serta menguasai aspek 3Cs iaitu Critical Thinking, Creativeness and Communication.

Program ini dibawah anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor, Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Menteri Besar dalam ucapan beliau menggesa golongan belia terutama mereka yang dilantik sebagai Duta Perpaduan Johor 2022 supaya turut terlibat memajukan agenda pembangunan Johor. Beliau berkata, jatuh bangun Negeri Johor terletak di bahu anak muda kerana mereka pewaris kepada kepimpinan negeri ini, pastinya mungkin tidak mampu berdepan situasi mencabar jika barisan pemimpin pelapisnya tidak sehaluan.

"Saya menggesa semua anak muda dan Duta Perpaduan khasnya turun ke akar umbi serta pastikan rakan anda terbabit dalam memajukan agenda pembangunan Johor. Bekerjasamalah dengan kerajaan negeri untuk memberi cadangan konstruktif demi masa depan belia. Saya akan sentiasa bersama anda dalam setiap langkah diambil," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan & Perpaduan Negeri Johor, YB Tuan Ah Soon; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi & Sumber Manusia Negeri Johor, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan & Komunikasi Negeri Johor; YB Cik Norliza Noh; Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, YB Dato’ Amir Nasruddin; Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Salehuddin Haji Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), YB Dato’ Haji Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek & Kesejahteraan Rakyat), Hajah Cik Shubanah Yusuf; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia & Sukarelawan), YB Dato’ Haji On Jabbar@Jaafar; dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Tuan Haji Abd Rahman Salleh.

Monday, April 25, 2022

TMJ mahu kerajaan selesai masalah graduan menganggur

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (tengah) berkenan menerima menghadap Noraini Ahmad dan delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membincangkan isu berkenaan graduan menganggur di Johor Bahru, baru-baru ini.
- GAMBAR Facebook Tunku Mahkota Johor

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti tempatan dalam mengisi kekosongan kerja pada masa depan. 

Titah baginda, masalah lambakan graduan tidak mendapat pekerjaan adalah disebabkan tahap kebolehpasaran yang rendah dan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran kemahiran. 

Menurutnya, isu berkenaan bukan sahaja kesan daripada pandemik Covid-19, tetapi masalah sistemik yang telah wujud selama bertahun-tahun. 

“Isu-isu ini perlu ditangani dengan segera dan sistematik untuk membantu graduan meningkatkan kebolehpasaran mereka di masa hadapan. Menteri Pengajian Tinggi telah beri jaminan kepada saya bahawa kementerian sedang meneliti isu-isu tersebut pada waktu ini. 

“Pada masa ini bilangan pelajar universiti yang menamatkan pengajian melebihi bilangan peluang pekerjaan yang ada. Jika kita tidak menangani isu ini dengan segera, populasi belia yang ‘berpendidikan tetapi menganggur’ akan bertambah,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar. 

Tunku Ismail turut bertitah agar Johor sentiasa dipilih sebagai hab pendidikan tempatan dan antarabangsa di mana pelajar tempatan harus diberi lebih banyak peluang mendapatkan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berpatutan.

“Johor juga memerlukan polisi pendidikan tinggi yang berpandangan ke hadapan yang merangkumi penggunaan pembelajaran berasaskan pengalaman untuk menyemai kemahiran abad ke-21. 

“Reka bentuk dan penyampaian modul pendidikan perlu memanfaatkan teknologi termaju untuk membolehkan pembelajaran yang lebih khusus. Pada masa yang sama pendidikan TVET juga mesti diberi keutamaan untuk menjana lebih ramai pekerja mahir untuk pelbagai industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan,” titah baginda. 

Dalam masa sama, baginda turut mencadangkan Persatuan Mahasiswa Anak Johor diwujudkan semula di semua universiti tempatan bertujuan menjadi platform kepada mahasiswa negeri ini menjalankan pelbagai aktiviti dan program sambil berkongsi idea dan pendapat.

“Persatuan ini akan menjadi sebahagian daripada Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ) yang lebih besar di mana pelbagai aktiviti dianjurkan seperti kejohanan bola sepak antara universiti,” titah baginda. – UTUSAN

Thursday, July 9, 2020

Yayasan Penyayang Iskandar Puteri - BANTUAN MELANJUTKAN PELAJARAN KE IPTA/IPTS 2020

Yayasan Penyayang Iskandar Puteri telah membuka peluang kepada semua komuniti yang tinggal dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi untuk memohon BANTUAN MELANJUTKAN PELAJARAN KE IPTA/IPTS 2020.

Syarat-syarat permohonan :

🔹Pemohon adalah warganegara yang tinggal dalam kawasan MBIP.

🔹Kemasukan pengajian ke semester pertama di peringkat DIPLOMA dan IJAZAH.

🔹Telah mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran ke IPT.

🔹Lepasan SPM/STAM/STPM.

🔹Hanya terbuka kepada golongan yang berpendapatan isi rumah RM 3860.00 dan ke bawah (B40).

Tarikh tutup permohonan adalah pada/sebelum : 21 Julai 2020

Borang permohonan boleh didapati di Pejabat Yayasan Penyayang Iskandar Puteri atau boleh memuat turun borang dilampirkan di bawah ini dan cetak seterusnya dilengkapkan. 



Sumber: Facebook Yayasan Penyayang Iskandar Puteri

Tuesday, July 2, 2019

Tidak ramai mohon? YPJ lanjutkan permohonan IHS sehingga 20 Julai

PERMOHONAN INSENTIF HARAPAN SISWA (IHS) SESI 2.JUN/JULAI 2019



Permohonan IHS Sesi 2 telah dilanjutkan daripada 20 Jun sehingga 20 Julai 2019. 
Dibuka khusus untuk mahasiswa DIPLOMA dan IJAZAH Sepenuh Masa sahaja. 
Terbuka kepada penuntut IPTA dan IPTS TERPILIH (rujuk di laman web YPJ).

Sila klik link berikut untuk membuat permohonan :-

http://portal.ypj.gov.my/insentif-harapan-siswa-ihs/

Permohonan perlu diisikan secara atas talian (online) dan hantarkan slip permohonan beserta dokumen sokongan ke pejabat YPJ Larkin (rujuk di laman web YPJ)

-----------

Mahasiswa Diploma yang baharu mendaftar kemasukan pada Jun/Julai ini disarankan agar memohon bantuan ini selagi permohonan dibuka. 

Bagi kemasukan baharu Ijazah pada Ogos/September ini, permohonan untuk kalian akan dibuka pada minggu pertama September (jangkaan). 

Nantikan informasi di laman blog ini. 

#MuafakatMahasiswaJohor
#KepadaJohorBerbakti

Saturday, May 25, 2019

Semua pelajar UniSZA dapat duit raya [Untung la]

20 Mei 2019


KUALA NERUS - Seramai 9,910 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menerima 'duit raya' berjumlah RM495,500 menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, sumbangan duit raya itu akan diberikan kepada semua pelajar diploma dan ijazah di universiti berkenaan.

"Sumbangan duit raya kepada semua pelajar diploma dan ijazah ini merupakan julung kali diadakan oleh UniSZA manakala majlis iftar menjadi tradisi UniSZA diadakan setiap kali Ramadan.

"Sumbangan mencerminkan komitmen universiti dalam menjaga kebajikan pelajar. Universiti juga berhasrat menyuburkan budaya kasih sayang dan berharap pelajar gembira sepanjang belajar di UniSZA" katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Iftar Perdana bersama pelajar UniSZA dan komuniti sekitar di universiti itu malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh.

Sementara itu, Dr Mohd Afandi berkata, setiap pelajar diploma dan ijazah bakal menerima duit raya sebanyak RM50 setiap orang termasuk pelajar bukan Muslim menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sumber : Sinar Harian

Thursday, May 16, 2019

Wednesday, May 15, 2019

Mahasiswa IKMAR USM kongsi inovasi dengan warga Felda

13 Mei 2019

Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPTIMA) di Kampung Felda Bukit Batu, Kulai, Johor pada 3 hingga 5 Mei yang lalu. 

Menurut Pengarah Program, Saiful Nizam Samsul Bahari, melalui program seperti ini IKMAR USM memberikan peluang kepada peserta untuk bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan. 

“Program tahunan ini bukan sahaja disertai oleh ahli-ahli IKMAR, malah menarik minat mahasiswa USM yang lain daripada negeri Selangor, Kedah dan Perak untuk turut menyertai”, kata beliau. 

Tambah beliau, program ini juga dijadikan platform untuk mahasiswa berkongsi pengetahuan dan inovasi daripada universiti kepada masyarakat setempat. 

“Keistimewaan OPTIMA kali ini ialah kami mengadakan Bengkel Baja Kompos melalui kerjasama Pusat Pengajian Teknologi Industri USM dan Pejabat Pertanian Daerah Kulai. 

“Iaitu kami memperkenalkan satu produk inovasi dikenali Azolla kepada penduduk kampung”, jelas beliau yang merupakan mahasiswa tahun dua Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM. 

Menurut beliau, penggunaan baja organik Azolla hanya memerlukan kos yang rendah kerana ia adalah sejenis tumbuhan yang kaya dengan protein untuk dijadikan baja tanaman dan juga makanan haiwan ternakan. 

Pada bengkel itu juga, Pejabat Pertanian Daerah Kulai telah menyumbangkan tiga jenis anak pokok iaitu durian musang king, jambu dan rambutan yang diberikan kepada setiap keluarga yang menyertai bengkel tersebut. 

Aktiviti-aktiviti lain yang turut dijalankan sepanjang OPTIMA ialah pemeriksaan kesihatan percuma dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kulai, gotong-royong bersama penduduk kampung, melukis mural di tadika dan program bersama pelajar Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Batu.

IKMAR USM juga berkesempatan menyampaikan bantuan sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada beberapa keluarga asnaf di kampung tersebut.

Perasmian OPTIMA telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kulai, Tuan Haji Mohd Khir Johari Haji Salleh, yang juga merupakan alumni USM manakala majlis penutupan pula disempurnakan oleh Encik Mohammad Adzhar Bin Johari, wakil rasmi kepada Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains Dan Teknologi Negeri Johor.





Sunday, April 14, 2019

Tahniah! Dr. Sahruddin Jamal, Menteri Besar Johor ke-17

Setinggi-tinggi tahniah kami ucapkan kepada YAB Dr. Sahruddin Bin Jamal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di hadapan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada pagi tadi.

Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor juga merupakan Setiausaha PPBM Negeri Johor.

Berita Harian: Dr Sahruddin angkat sumpah MB baharu Johor



Selamat menjalankan tugas dan menggalas tanggungjawab dalam menerajui Negeri Johor memacu kemajuan dan perubahan yang lebih progresif.

Daripada :
Barisan Kepimpinan, Ahli-ahli dan warga Mahasiswa
Pertubuhan Mahasiswa Johor