Tuesday, November 4, 2014

MENJADIKAN MAHASISWA JAGUH MASYARAKAT


MEMBANGUNKAN negara seperti Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan perancangan teliti dan lebih penting, sumbangan dan pengorbanan semua pihak. Kini soal pembangunan negara tidak boleh lagi diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu.

Konsep kebersamaan dan permuafakatan ini penting kerana hanya melalui pendekatan sedemikian, pembangunan negara dapat dijayakan dengan lebih menyeluruh dan bersifat inklusif. Ini pastinya membantu Malaysia mencapai hasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Saya sentiasa melihat generasi muda khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) boleh menyumbang secara tersendiri kepada pembangunan negara. Saya percaya, mereka bukan sekadar penerima nikmat seperti difahami sesetengah pihak, tetapi boleh memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan rakyat.

Beri perkhidmatan kepada masyarakat

Baru-baru ini, saya melancarkan program khas mahasiswa, iaitu Duta Jauhar yang bertujuan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat. Program seumpama ini pernah saya perkenalkan iaitu, Duta Universiti sewaktu menjawat Menteri Pengajian Tinggi.

Program di bawah pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ini membawa mahasiswa kepada masyarakat melalui pelbagai program berdasarkan fokus dan kekuatan IPT yang mereka wakili. Duta Jauhar membawa mahasiswa ke alam realiti yang menggabungkan penguasaan ilmu, nilai dan kemahiran. Jika di universiti mereka memberi perhatian kepada ilmu dan kemahiran, tetapi dalam program seperti Duta Jauhar, mahasiswa dapat membina nilai murni yang berupaya membangunkan keperibadian dan sahsiah.

Pembinaan nilai memerlukan pengalaman luar kuliah. Justeru, wadah atau platform mesti diwujudkan untuk mahasiswa memindahkan ilmu, kemahiran, kepakaran, pandangan serta tenaga mereka. Menyedari hakikat ini, Program Duta Jauhar diilhamkan dan dilaksanakan bagi memberi ruang kepada anak muda untuk turut sama dalam usaha meningkatkan kedudukan sosioekonomi masyarakat Johor.

Melalui Duta Jauhar, mahasiswa terpilih diangkat menjadi ejen yang menghubungkan kerajaan negeri dan masyarakat. Mereka berperanan memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan yang berkait rapat dengan kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat Johor. Mereka akan menjadi penggerak kepada program berdasarkan idea kreatif yang menggunakan pendekatan NBOS dan Perancangan Berasaskan Hasil, yang bakal memberi pelbagai manfaat di 10 daerah di Johor.

Antara program dilaksanakan di bawah Duta Jauhar ialah projek penternakan burung puyuh ekspres oleh Persatuan Mahasiswa Johor Universiti Malaya (PEMASHOR UM). Projek itu akan dilaksanakan di Kampung Lubok Sipat, Benut, Pontian dan bakal bekerjasama dengan tiga syarikat penternakan dan penjual burung puyuh terbesar di Malaysia.

Bantu jana pendapatan bulanan

Projek ini menyasarkan golongan miskin tegar dapat membantu menjana pendapatan bulanan sehingga 60 peratus melalui pelan strategik jangka panjang. Selain itu, projek Sistem Ekonomi Jaringan Usahawan Taib Andak oleh Persatuan Mahasiswa Johor UKM turut akan dijayakan melalui program Duta Jauhar ini.

Mahasiswa terbabit akan mempelajari selok-belok dan kemahiran menguruskan isu dan cabaran. Ini dapat dilihat melalui empat pendekatan teras pelaksanaan program. Pertamanya, mengenalpasti dengan jelas punca permasalahan yang menjadi penghalang peningkatan tahap sosioekonomi masyarakat setempat. Kedua, selepas mengenal pasti permasalahan, mahasiswa perlu mencari formula penyelesaian menyeluruh. Ketiga, mereka perlu memastikan cadangan penyelesaian yang dibuat dapat dibawa kepada perhatian pihak berwajib untuk tindakan.

Keempat, merancang pemantauan proses pelaksanaan dan kelangsungan pelan tindakan. Langkah ini saya kira adalah amat penting kerana pada peringkat pelaksanaanlah sesuatu dasar yang direncana benar-benar dapat diuji keberkesanannya. Saya percaya, inisiatif Duta Jauhar ini akan menyumbang kepada situasi menang-menang, iaitu membawa manfaat kepada semua pihak.

Masyarakat sebagai kumpulan sasaran akan menerima nikmat, kerajaan dapat memastikan pembangunan terus kepada rakyat, manakala mahasiswa terbabit dapat memperkukuhkan nilai menjadi modal insan berguna. Ini juga akan mengangkat peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan, ikon dan jurucakap masyarakat. Mahasiswa tidak lagi dianggap anak kecil yang tidak peduli tetapi berupaya mengubah destini masyarakat. Ia sekali gus dapat mengangkat martabat mahasiswa di mata masyarakat.

Saya percaya program seumpama ini akan memberi pulangan jangka panjang yang mana mahasiswa yang dicernakan melalui program Duta Jauhar ini bakal menjadi pemimpin berkualiti. Pendedahan peringkat awal sebegini akan menjadi nilai tambah kepada mereka ke arah penyediaan sebagai jaguh masyarakat dan pemimpin yang berjasa.

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajar mahasiswa merempuh pagar, mahasiswa di Johor sukarela membantu masyarakat meningkatkan pendapatan dan menyumbang khidmat bakti kepada negeri. Inilah cara Johor yang cuba saya dan kerajaan negeri usahakan demi manfaat anak bangsa kita. Ini kerana mereka umpama batu permata yang berharga, seperti maksud Jauhar.

Penulis ialah Menteri Besar Johor. 

0 comments:

Post a Comment