Oleh: MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON
Ayub melawat keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Balairaya Kg Melayu Raya, Segamat. |
SEGAMAT, 23 Jan - Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar daerah ini mula dinaiki air selain beberapa pusat pemindahan banjir telah dibuka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata, sejak pukul 4.20 petang, semalam, sebanyak empat pusat pemindahan telah dibuka di sekitar daerah ini dengan menempatkan kira-kira 200 mangsa.
Menurutnya, empat pusat pemindahan tersebut adalah di Kampung Lembah Bakti, Kampung Melayu Raya, Kampung Gelang Chincin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun Tenang Stesen.
"Daerah Segamat menjadi daerah pertama di negeri ini yang dilanda banjir pada tahun ini dan bilik operasi banjir juga telah dibuka di Majlis Daerah Segamat (MDS) petang tadi (hari ini).
"Beberapa agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan bomba juga turut memantau situasi banjir di daerah ini dan kita berharap situasi banjir ini tidak bertambah teruk," katanya.
Beliau yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemindahan banjir di Balairaya Kampung Melayu Raya, di sini, malam ini.
Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menyediakan kelengkapan seperti pakaian, makanan, tilam serta selimut untuk keselesaan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan.
Pada masa sama, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat juga telah diarahkan untuk sentiasa melakukan pemeriksaan dan memantau tahap perkembangan kesihatan mangsa banjir di setiap pusat pemidnahan.
"Ini bagi memastikan tahap kesihatan mangsa tidak terjejas kerana kita risau penyakit berjangkit terutamanya penyakit bawaan air lebih mudah merebak pada musim banjir seperti taun dan demam kepialu.
"Lebih penting, ahli keluarga atau ahli jawatankuasa di pusat pemindahan perlu tahu simptom-simptom penyakit ini supaya mudah diberi rawatan awal bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah," katanya. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment