TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meneruskan hasrat memegang jawatan Menteri Pendidikan, memberi tuah dan laluan kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.
Maszlee mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan dalam Kabinet baharu Malaysia pada Isnin lalu. Tahniah diucapkan.
Pengalaman beliau sebagai ahli akademik (penolong profesor) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) boleh menjadi asas dan membantu keupayaannya memimpin sektor pendidikan negara.
Namun, cabaran besar menanti apabila dua kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi disatukan yang bakal menguji kemampuan beliau dalam menyantuni isu pendidikan peringkat sekolah sehingga universiti.
Hal ini disebabkan oleh faktor pihak berkepentingan yang berbeza selain pendekatan pengurusan yang tidak sama. Pengurusan sekolah adalah berpusat, tetapi pengurusan universiti bersifat lebih berautonomi.
Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi pernah digabungkan pada 2013, tetapi dipisahkan semula ketika rombakan Kabinet pada Julai 2015.
Dalam temu bual bersama sebuah stesen televisyen swasta beberapa hari lalu, Maszlee menekankan soal pemerkasaan atau empowerment kepada setiap warga sektor pendidikan di negara ini. Bagi beliau, era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir.
Justeru, setiap warga dan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan, sama ada sekolah, universiti, guru, pensyarah atau ibu bapa perlu diberikan hak dan ruang untuk menyumbang secara lebih berkesan dengan sikap saling percaya.
Hala tuju pendidikan tinggi
Artikel ini memberi tumpuan kepada sektor pendidikan tinggi.
Kita percaya hala tuju pendidikan tinggi negara oleh Kabinet baharu akan mengambil kira perkara yang telah disenaraikan dalam Buku Harapan sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, antaranya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Maszlee sendiri mengakui pernah menjadi mangsa AUKU dan mendakwa kebebasan bersuara terbatas sebelum ini.
Bagaimanapun, sebarang pengenalan akta baharu bagi menggantikan AUKU perlu berlandaskan kajian mendalam dan bebas daripada kepentingan politik.
Selain itu, fokus juga perlu diberikan kepada dua pelan penting dalam sektor pendidikan negara, iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM PT) 2015-2025.
Meskipun dua pelan ini adalah legasi kerajaan terdahulu, ironinya ia adalah dasar pendidikan yang dicetuskan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pendidikan.
Maszlee dan Muhyiddin kini bersama dalam satu pasukan dan secara kebetulan datang dari parti politik sama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Saya melihat beberapa cabaran utama dalam sektor pendidikan tinggi yang perlu diambil perhatian oleh Menteri Pendidikan baharu.
Pertama, governan dan tadbir urus universiti yang sememangnya mendasari cabaran universiti, khususnya untuk memacu kecemerlangan.
Banyak pihak percaya bahawa governan dan tadbir urus universiti sebagai badan berkanun, perlu berubah, khususnya bagi mendukung peranan baharu universiti agar terus relevan, termasuk soal pembinaan wawasan dan strategi kepemimpinan yang mantap.
Kedua, governan dan tadbir urus universiti tidak akan berkesan tanpa autonomi. Tidak dinafikan, universiti diberikan autonomi dalam beberapa perkara, namun ia masih terbatas khususnya dalam aspek kewangan apabila terpaksa berdepan banyak kerenah birokrasi.
Autonomi akademik
Hal ini sangat kritikal kerana universiti sewajarnya dilihat sebagai satu entiti yang berbeza dengan sebuah jabatan kerajaan. Soal autonomi bukan sahaja merujuk kepada institusi, tetapi bersangkutan dengan ahli akademik.
Kebebasan akademik membolehkan ahli akademik meneroka ilmu dan berkongsi dapatan kajian bersandarkan kebenaran, meskipun ia tidak selari dengan jalur pemikiran kerajaan atau pihak autoriti.
Namun, kebebasan akademik bukan kebebasan mutlak yang mengetepikan etika akademik. Ia perlu dipertanggungjawabkan.
Ketiga, kualiti universiti dan pendidikan tinggi secara menyeluruh. Buat masa ini, kualiti universiti bersandarkan kepada kedudukan ranking dan kita percaya kualiti universiti dan pendidikan mesti melangkaui sistem ranking.
Pembinaan karakter pendidikan tinggi perlu melihat aspek profesionalisme dan keinsanan dalam key intangible performance (KIP) seperti amanah dan integriti. Selain itu, aspek kebajikan dan kesejahteraan ahli akademik perlu diberikan perhatian.
Pendek kata, karakter pendidikan tinggi baharu mesti dijelmakan dengan mengimbangi soal kecemerlangan dan kesejahteraan.
Keempat, penjanaan pendapatan menjadi antara cabaran utama universiti awam untuk terus beroperasi dan pada masa sama, memacu kecemerlangan.
Beberapa tahun kebelakangan, dana kerajaan kepada universiti semakin berkurangan dan ia mendesak universiti menjana pendapatan sendiri.
Tidak dinafikan, penjanaan pendapatan 'mengganggu' sedikit sebanyak fokus universiti untuk terus memberi perhatian kepada aktiviti teras akademik.
Sektor paling kritikal
Untuk merealisasikan hasrat Malaysia menjadi negara maju, sektor pendidikan tinggi adalah sektor paling kritikal.
Harapan dalam sektor pendidikan, khususnya pendidikan tinggi terletak kepada Menteri Pendidikan baharu dan timbalannya nanti.
Sejak sektor pendidikan tinggi mula diberikan tumpuan oleh kerajaan, figura seperti Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh, Datuk Seri Mustapa Mohamad, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Muhyiddin dan Datuk Seri Idris Jusoh telah dilantik menerajui sektor ini.
Masing-masing meninggalkan legasi tersendiri dan kini, perhatian diberikan kepada Maszlee untuk terus menakhoda sektor pendidikan tinggi negara.
Kita meletakkan harapan tinggi kepada beliau, lebih-lebih lagi dengan tunjuk ajar dua bekas Menteri Pendidikan, iaitu Dr Mahathir dan Muhyiddin.
Pada masa sama, beliau juga boleh dibantu dengan pandangan pakar dan pihak berkepentingan bagi mencapai satu-satu keputusan demi kebaikan bersama.
Apa yang penting, sektor ini perlu memenuhi harapan rakyat dan tidak seharusnya dipolitikkan.

Oleh: Dr Mohd Izani Mohd Zain
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM, Setiausaha Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi
0 comments:
Post a Comment