Tuesday, May 8, 2018

Surat Terbuka untuk Tun Dr Mahathir

.: Surat Terbuka Untuk Tun Dr Mahathir Mohamad :.


Assalamualaikum wbt YBhg Tun, 

Saya mendoakan agar Tun & Tun Dr Hasmah berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera. Semoga Allah swt merahmati usaha Tun untuk melihat “Malaysia yang lebih baik”, biarpun di saat ini sepatutnya Tun sedang berehat bersama keluarga di rumah. Tetapi atas nama “perjuangan”, Tun tetap gagahkan jua sisa-sisa kudrat yang ada untuk buat apa yang terdaya. 

Sebelum saya pergi jauh, izinkan saya perkenalkan diri saya kepada Tun.

Nama saya Qaim, berasal dari Muar, Johor. Seorang anak muda daripada keluarga sederhana, yang mempunyai minat yang sangat tinggi dalam bidang politik, tetapi saya bukanlah ahli daripada mana-mana parti politik.

YBhg Tun,

Tun merupakan idola saya sejak kecil. Saya membesar dengan lagu “Jika Kau Fikirkan Kau Boleh (Fikirkan Boleh)”, “Puji dan Syukur pada Illahi (Sejahtera Malaysia)”, dan berbagai-bagai lagi lagu patriotik yang membina jatidiri saya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Saya juga sedang melalui zaman di mana penghormatan kepada Tun boleh menjadi suatu “taboo” bagi sesetengah penjawat awam, guru-guru, dan juga anggota-anggota keselamatan yang membesar di zaman kepimpinan Tun.

Kami dinasihatkan untuk berkecuali dalam menyatakan pendirian atau kencenderungan dalam politik, tetapi hormat kami kepada Tun, sewajarnya merentasi sempadan politik. 

YBhg Tun,

Saya masih meneduhkan diri daripada berjudi melontarkan sebarang pertanyaan tatkala negara ini sedang melanda perubahan cuaca politik yang tidak dapat saya fahami dengan jelas.

Takut-takut persoalan saya menyebabkan segelintir pihak tidak akan senang dan membuat keputusan untuk melabel saya sebagai askar upahan parti, buta taqlid, dan bermacam-macam lagi tuduhan yang bakal membuli diri ini daripada mendapatkan sesuap kebenaran.

Saya masih dirantai keraguan yang sangat membelengu.

Yang terbaharu, Tun dan rakan-rakan yang dahulunya dari UMNO sedang berusaha untuk memadamkan nama UMNO dan Barisan Nasional, sebuah parti yang Tun dan rakan-rakan telah bangunkan sekian lama, untuk dihantar ke jirat politik.

Dalam bahasa yang lebih mudah, Tun dilihat begitu bersungguh-sungguh ingin membentuk kerajaan bersama-sama rakan dari Pakatan Harapan, yang dianggotai oleh musuh-musuh politik Tun dahulunya.

Saya pelik dan hairan Tun, 

Tidakkah Tun melihat bahawa musuh-musuh Tun dahulunya sedang menyediakan jeriji besi yang akan memenjarakan Tun daripada terus melakukan perubahan? Penjaranya bukan di Sungai Buloh, tetapi penjara di kem Pakatan Harapan yang lebih perit siksaannya.

Sejujurnya, saya rasa tertampar dengan hayunan kekeliruan yang sungguh dahsyat, bilamana Tun mengambil keputusan untuk menyertai Pakatan Harapan bersama dengan rakan-rakan dari UMNO yang rakyat kenal sebagai “Ultra-Melayu”, tidak ada yang lebih pro kepada Melayu seperti Tun, Tan Sri Muhyiddin, Dr Rais Yatim, dan lain-lain.

Saya tidak berminat untuk mempersoalkan tentang sama ada benar atau tidak segala tuduhan Tun kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu sosok politik yang telah dan sedang menghabiskan majoriti usianya di dalam penjara sejak saya kecil lagi, dan saya juga tidak berminat untuk mempersoalkan sama ada benar atau tidak skandal-skandal politik Tun yang telah didoktrin oleh barisan pemimpin pembangkang semasa saya cenderung untuk minat politik sejak dari zaman remaja.

Terlalu panjang untuk saya persoalkan.  Episod itu terlalu panjang.

Namun, cukuplah yang asas sahaja hari ini, saya masih belum jumpa jawapan yang konkrit, kenapa Tun melakukan ini semua?

Saya faham, niat asal Tun hanya mahu membuang parasit yang merosakkan sebahagian pokok, tetapi mutakhir ini, Tun dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk menebang keseluruhan pokok yang telah berusia puluhan tahun, pokok yang telah memberi banyak manfaat daripada buah-buah kepimpinan terdahulu, daun-daun idea pemimpin lama yang menjadi tempat berteduh orang Melayu, tanpa mengetepikan kaum-kaum yang lain, serta bunga-bunga pencapaian yang terhasil daripada baja-baja perjuangan pemimpin terdahulu yang telah pergi lama meninggalkan kita. 

Idea untuk menumbangkan pokok yang sedia ada ini asalnya ialah perjuangan golongan antagonis yang sentiasa iri hati dengan usaha setiap pemimpin yang datang & pergi, yang ikhlas menggalas amanah untuk menjaga pokok ini bersilih ganti.

Iya, saya boleh bersetuju dengan Tun.

Tanyalah 10 rakyat secara rawak, secara purata, majoriti daripada mereka akan bersetuju UMNO memerlukan sosok pemimpin yang lebih baik untuk memimpin, tidak dinafikan sama sekali.

Tetapi adakah dengan cara menghukum keseluruhan pemimpin & penyokong berkecuali yang selama ini bermati-matian memperjuangkan nasib agama, bangsa & negara merupakan satu tindakan yang tepat?

Bagaimana pula harini Tun boleh bertanding di atas tiket Parti Keadilan Rakyat yang ditubuhkan pada tahun 1998 untuk melawan Tun secara khusus dan terang-terangan?

Saya masih kabur dan sangat tidak faham.

Saya percaya Tun dah pun menonton video Hew “Superman DAP” dan Nga Kor Ming yang sungguh biadap meletakkan maruah Tun di tahap “kuda tunggangan” mereka untuk menuju Putrajaya, meminta kaum cina untuk mendoakan Tun tidak mati dahulu sebelum mereka berjaya tumbangkan BN, melawak-lawakkan Tun di atas pentas dengan bahasa yang sangat biadap, tidakkah apa yang mereka perkatakan ini sedikit pun tidak menjentik hati Tun?

“Demokrasi Ala Penjajah” yang cuba digerakkan oleh pemain-pemain watak antagonis sebelum merdeka yang tidak senang dengan kuasa yang ada pada orang Melayu & Islam harini, pastinya akan menjerut mati figura-figura yang sememangnya ikhlas berjuang kerana agama, bangsa & negara.

Golongan yang memperjuangkan “Demokrasi Ala Penjajah” ini persis penjajah British sewaktu mereka datang ke tanah melayu ketika dahulu.

Mereka tidak mahu menjadi pemimpin nombor satu, mereka cuma mahu menjadi penasihat, dan akhirnya merekalah yang akan jadi pencatur yang sangat berkuasa menentukan segala-galanya, termasuk dalam urusan orang Melayu dan juga agama Islam.

YBhg Tun,

Saya juga merasa sangat hiba dan sedih kerana terpaksa mendengar Tun mengubah skrip ucapan di dalam setiap siri ceramah dengan mencela parti yang Tun bangunkan ketika dahulu bersama-sama rakan yang lain. Ianya teramatlah janggal bagi saya.

Mereka yang selama ini tidak dapat menyeberang sungai, harini berlari-lari di atas penyertaan Tun untuk mereka cuba sampai ke tanah yang diimpikan.

Tulisan ini bukanlah terlahir hasil doktrin BTN, jauh sekali saya mewakili lidah UMNO, yang sering dituduh kerap menggunakan isu kaum dan agama. Saya bukan ahli politik.

Tetapi ianya datang daripada akal dan pertimbangan saya sebagai anak muda yang masih meraba-raba jawapan. Datang dari generasi Y yang suka bertanya. Saya cumalah anak muda yang baru hendak celik dan belajar cakna politik.

Maafkan saya Tun.

Sungguh kurang adab saya jika saya berniat ingin “mengajar” Tun untuk berpolitik.

Pengalaman Tun jauh lebih luas dari saya, malah jauh lebih luas dari orang tua saya & juga datuk saya. Kami semua menghormati dan menyanjungi Tun.

Namun ketahuilah Tun,

Saya sedang tersepit.

Saya percaya, ramai orang Melayu juga sedang tersepit.

Kami mahukan perubahan, tetapi bukan bersama dengan parti chauvanis, liberal, ekstrim bersama konco-konconya.

Biarlah sejarah yang menjelaskan segala-galanya.

Saya tak mahu jadi Buang dalam filem Sarjan Hassan.

Saya tak mahu memilih untuk menjadi “berkuasa” di dalam kesulitan.

Bersekongkol dengan pihak musuh dan menjadi Kempeitai Jepun.

Menunjuk belang di hadapan orang-orang yang sebangsa dan seagama.

Hakikatnya, bangsa dan agama kita tetap dibantai dengan begitu kejam.

Saya yakin orang kita boleh berubah dan maju dengan cara dan acuan kita sendiri, tanpa perlu mengharapkan bantuan daripada watak penjajah yang kononnya hendak membantu, tetapi penjajah tetap penjajah.

Saya tidak rela menjadi orang yang “tertawan sebelum ditawan”.

Saya hormati perjuangan Tun.

Tun merupakan tokoh yang sangat berpengaruh, tidak boleh dinafikan.

Cuma sayang perjuangan ini tidak berakhir untuk kebaikan, malah mendekat kepada kehancuran.

Biarlah dengan cara apa sekalipun, biarpun mungkin pincang, saya sebagai anak warisan kepada bangsa yang kerdil ini akan cuba meneruskan sebuah “Perjuangan Yang Belum Selesai” ini mengikut susur perjuangan saya sendiri, untuk mengubah kelemahan tanpa mengubah prinsip.

Kerana prinsip itu tidak ternilai harganya. Biarlah rebah berkali, berjalan mata tertutup tanpa tali, asalkan bangsa ini dapat berdikari.

Yang hak tetap hak, yang batil tetap batil.

Sesekali saya tidak akan menyokong yang batil, baik kerajaan yang bakal dibentuk adalah masih dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan, ataupun Gagasan Sejahtera.

Sayang seribu kali sayang.

Sungguh perang demokrasi ini tidak ubah seperti najis yang cuba dihias cantik.

Memalit kotor kepada kesatuan. Mencela ukhwah kerana perebutan.

Salam hormat dari saya buat Tun,

9 Mei 2018 ini akan menentukan segala-galanya. “Semoga berjaya” Tun.

Kita doakan rakyat benar-benar bijak menilai.

Assalamualaikum.

Insan kerdil yang mempunyai kuasa undi. 

QAIM QAYS 

#MalaysiaMemilih #PRU14

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment