Friday, November 23, 2012

Sultan Johor Gesa Majukan Muar


MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meminta kerajaan negeri menyediakan pelan pembangunan Bandar Muar yang menyeluruh dengan mengekalkan bangunan yang bersejarah dan memanfaatkan kelebihan Sungai Muar.

Baginda bertitah, Bandar Muar adalah kawasan yang kaya dengan sejarah pentadbiran kerajaan dan pembangunan bandar itu yang tersusun bermula pada tahun 1880-an semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar. 

Titah baginda, sejak diumumkan sebagai Bandar Maharani pada 1887, Muar menjadi kawasan kegiatan ekonomi utama di negeri ini dan kesan pembangunan itu dapat dilihat dengan banyaknya bangunan lama dan bersejarah di Muar seperti bangunan Sultan Abu Bakar. 

Saya memang kerap datang ke Muar kerana saya suka dengan keadaan dan suasana persekitarannya yang aman dan tenteram serta Sungai Muar yang mengalir tenang.

Saya dapat rasakan yang Bandar Muar ini mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah bandar yang membangun lebih maju, titah baginda pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-54 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, semalam.

Ini julung kali istiadat itu diadakan di luar Johor Bahru. Turut berangkat, isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda Sultan Johor.

Baginda menggesa kerajaan negeri supaya memulihara bangunan lama dan bersejarah yang ada di Bandar Muar dan mewartakannya sebagai bangunan warisan. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment