Saturday, November 10, 2012

Sultan Johor Mahu Sistem Saliran Dinaik Taraf


BATU PAHAT - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, mahu sistem saliran dan perparitan di kawasan Batu Pahat dapat ditukarkan dengan konkrit dan perlu diselenggara dengan baik.

Titah baginda yang ringkas itu jelas memberikan makna yang cukup mendalam dan membuktikan keprihatinan baginda Tuanku agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

Sultan Ibrahim tiba di pusat pemindahan itu kira-kira jam 12.20 tengah hari dengan kenderaan yang dipandu sendiri baginda ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh, di sini, semalam.

Tuanku kemudiannya sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan mangsa banjir yang terdiri daripada 52 keluarga.

Dalam masa yang sama juga, Sultan Ibrahim turut mencemar duli melawat 278 mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sri Gading dan 311 mangsa di Sekolah Kebangsaan Sri Tiga Serangkai.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab Wahab Ridwan yang mengiringi Sultan Johor ketika melawat Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh berkata, pihaknya menerima pandangan peribadi Sultan Ibrahim.

Menurutnya, setakat ini pihaknya memang mempunyai perancangan untuk menambah baik sistem saliran, termasuk menukarkannya kepada parit konkrit.

“Sesetengah kawasan memang memerlukan parit konkrit dan disebabkan itu kami sedang membuat kertas kerja. Kini ia dalam proses terakhir untuk dilaksanakan.

“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga turut memberi kerjasama yang baik dan pandangan peribadi sultan itu akan diambil kira,” katanya.

Ab Wahab berkata, insyaALLAH perkara itu akan dapat dilaksanakan dan pihaknya menunggu kelulusan kerajaan negeri. Jika diluluskan dengan segera kerja-kerja menaik taraf sistem saliran akan dilaksanakan secepat mungkin. -Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment