Thursday, October 11, 2012

Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (KEPAK)


KEPAK 2012 Platform Terbaik Membina Kerjaya

JOHOR BAHRU 6 Okt. - Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak 2012) yang berlangsung di Stadium Pasir Gudang di sini sejak semalam dilihat sebagai salah satu platform terbaik untuk mencari kerja.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati rata-rata pengunjung yang hadir lebih tertumpu di gerai yang menawarkan peluang pekerjaan selain bidang kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran kerja.

Tambahan pula, sebanyak 1,800 jawatan kosong dalam pelbagai bidang ditawarkan sempena penganjuran Kepak 2012 termasuk dalam sektor minyak dan gas, perkhidmatan serta kemahiran.

Seorang pengunjung, Nor Azrol Othman, 23, berkata, kunjungannya ke karnival kerjaya itu merupakan kali kedua selepas mengikutinya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) pada Mac lalu dan menyifatkannya sebagai platform mencari maklumat pekerjaan berbanding hanya mencarinya di dalam Internet.

"Kepak sememangnya bukan sesuatu yang baru kepada pencari kerja. Ia merupakan medan terbaik kepada golongan muda untuk memulakan langkah kerjaya. Malah saluran terbaik kepada mereka yang ingin menukar kerjaya sedia ada," katanya.

Kepak berlangsung selama tiga hari dengan tujuan mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan serta latihan kemahiran kepada orang ramai sekali gus dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

Sasaran utama program tersebut ialah isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 atau kumpulan pendapatan di bawah 40 peratus mengikut perangkaan sedia ada selain lepasan sekolah, pusat latihan kemahiran dan pengajian tinggi yang mencari pekerjaan atau peluang perniagaan.

Karnival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri itu memberi fokus pada pembangunan modal insan.

Artikel Penuh: UTUSAN


700 Berjaya Dapat Pekerjaan

JOHOR BAHRU 7 Okt. - Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak 2012) berjaya membantu seramai 717 orang merangkumi lepasan siswazah dan bukan siswazah mendapat pekerjaan sepanjang karnival itu di tiga lokasi terdahulu.

Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran A. Rahman berkata, jumlah tersebut tidak termasuk lebih 657 pemohon masih menunggu untuk dipanggil temu duga.

Beliau berkata, penganjuran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), Kluang dan Muar berjaya menarik ribuan pencari kerja yang ingin mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kelulusan mereka.

"Pelajar juga tidak terkecuali mendapat manfaat daripada Kepak. Ini kerana mereka didedahkan dengan maklumat serta perkembangan terkini," katanya ketika merasmikan Kepak 2012 di Pasir Gudang dekat sini semalam.

Kepak 2012 di Pasir Gudang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan serta latihan kemahiran kepada orang ramai sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

Sasaran utama program tersebut adalah isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 atau kumpulan pendapatan di bawah 40 peratus mengikut perangkaan sedia ada selain lepasan sekolah, pusat latihan kemahiran dan pengajian tinggi yang mencari pekerjaan atau peluang perniagaan.

Artikel Penuh: UTUSAN

0 comments:

Post a Comment