Monday, April 1, 2013

DUTA UNIVERSITI - NATIONAL BLUE OCEAN STRATEGY 5 (NBOS 5)

DUTA UNIVERSITI - NATIONAL BLUE OCEAN STRATEGY 5 (NBOS 5)

Pengenalan 
Strategi Lautan Biru Kebangsaan 5 atau turut dikenali sebagai NBOS 5 telah dirangka lanjutan daripada pelaksanaan NBOS 1, 2, 3 dan 4 yang setiap satunya diterajui oleh Kementerian yang berlainan dan mempunyai inisiatif dan matlamat yang berbeza.


Program nasional ini merupakan satu inisiatif merentas kementerian yang melibatkan pelajar IPT untuk melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat. Penyelarasan peringkat tertinggi strategi ini akan dilaporkan dalam National Strategy Execution Summit (NSES) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Kerajaan untuk mentransformasikan Kerajaan.

KPT Teraju NBOS 5
Program University Ambassador (UAP) telah dikenal pasti sebagai salah satu program yang dijayakan di bawah NBOS 5. UAP telah diterajui oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan diselaraskan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT). JPT bersama-sama beberapa Kementerian dan agensi lain antaranya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan beberapa agensi lain telah bekerjasama untuk membentuk satu jalinan strategik bagi membantu menjayakan UAP. 

Sebanyak 4 inisiatif iaitu Innovation & Technology, Nurturing Interest in Math & Science, Lifelong Learning and Micro Entrepreneuers telah dikenal pasti untuk dijayakan di bawah UAP. Manakala sejumlah 7 program telah dibangunkan di bawah UAP iaitu C-Ways, ICT Village, SMARTORS, Mobile Siswa, Agrodesa, ME UniInterns dan iParents. Kesemua tujuh (7) program tersebut merupakan cetusan idea duta universiti dan telah ditambah baik melalui perbincangan bersama pelbagai agensi yang berkaitan.

Pelaksanaan
Matlamat pelaksanaan program-program UAP ini adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui beberapa program yang bermanfaat. Program-program berkenaan adalah hasil cetusan idea para pelajar universiti sendiri melalui kerjasama Kementerian dan agensi yang terlibat. Komuniti sasaran bagi fasa pertama program ini adalah sekitar Gopeng, Perak dan 100km radius daripada Gopeng.

UAP melibatkan seramai 63 orang pelajar daripada enam (6) buah IPTA (USM, UIAM, UTM, USIM, UiTM dan UPSI) yang telah dilantik sebagai duta universiti (university ambassador). University Ambassador (UA) telah memainkan peranan sebagai wakil / jurucakap kepada YB Menteri / Kementerian Pengajian Tinggi serta kerajaan dalam usaha mengukuhkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan. 

Selain itu, UA juga turut berperanan sebagai agen perubahan dan perantaraan di antara masyarakat dengan pihak kerajaan dalam menggerakkan program berbentuk kemasyarakatan yang telah dikenal pasti untuk dijalankan. Pelajar-pelajar yang dilantik ini telah dipilih dan dilatih supaya berkemampuan untuk memimpin masyarakat setempat termasuk di peringkat universiti/kampus, dan lokasi sasaran. Mereka juga bersedia untuk dijadikan sumber rujukan selain bertindak sebagai model contoh kepada masyarakat.

Secara ringkasnya, fungsi UA adalah sebagai :
  1. Pemimpin belia terutamanya dalam aspek berpersatuan.
  2. Penghubung di antara komuniti setempat dan agensi Kerajaan dalam aspek penyampaian maklumat seperti kemudahan pinjaman dan lain-lain bantuan yang disediakan oleh Kerajaan.
  3. Pakar rujuk kepada komuniti setempat dalam isu-isu semasa berkaitan sosial, pendidikan, ekonomi, teknologi dan juga politik.
  4. Penyokong dan penggerak aktiviti komuniti setempat sama ada membangunkan projek baru atau melalui kemudahan sedia ada yang disediakan Kerajaan.
  5. Sumber inspirasi dan tauladan di kalangan belia dengan cara menunjukkan perwatakan yang matang, positif dan berkeyakinan.

Melalui UA, pelajar universiti akan dapat meningkatkan kemahiran dan kebolehan diri terutamanya dari aspek kepimpinan, kemahiran komunikasi, berfikiran yang kritis, berpeluang untuk mempelajari sesuatu yang baru dan banyak lagi yang secara langsung disemai dan dipupuk semasa belangsungnya program. Pelajar akan menjadi lebih yakin dengan diri sendiri dan bersedia untuk behadapan dengan orang ramai.

Penglibatan pelajar-pelajar ini sebagai Duta Universiti bukan sahaja memberi kesan positif kepada masyarakat dan Negara tetapi juga melatih pelajar-pelajar tersebut melalui pengalaman yang ditimba semasa melaksanakan tugas sebagai "Duta". Pelajar-pelajar tersebut mengasah bakat kepimpinan mereka, meningkatkan keyakinan diri, belajar berkomunikasi secara berkesan selain berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil-wakil tetap dari pelbagai agensi berkaitan yang terlibat sama dalam pelaksanaan program.

Dalam melaksanakan kesemua program yang telah dikenal pasti, adalah diharapkan bahawa pelajar-pelajar ini akan mampu memberi nilai tambah kepada inisiatif sedia ada yang dijalankan oleh pihak lain tetapi ternyata kurang memberi impak seperti yang diharapkan. Penglibatan pelajar-pelajar ini diharap dapat membuka mata dan menyuntik semangat kepada pihak-pihak terlibat bagi terus menjayakan program yang dikenal pasti seperti mana yang digariskan dalam Strategi Lautan Biru Negara. 

i.   C-Ways - dalam program ini duta universiti akan membantu pengusaha labu sayong memasarkan produk keluaran mereka. Ini melibatkan bantuan dari segi pembungkusan produk, penjemaan semula dan penempatan semula labu sayonguntuk menembusi pasaran yang lebih luas. Ia melibatkan duta universiti dari Universiti Teknologi Malaysia dan diadakan di sekitar Sayong, Kuala Kangsar, Perak. Antara kementerian dan agensi luar yang terlibat adalah seperti MARA, MOA (TEKUN), Majlis Koperasi Malaysia (MKM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SIFE Malaysia and Kementerian Pelancongan Malaysia (MoTour). 

ii.   ICT Village - dalam program ini duta universiti akan membantu mendedahkan kemahiran ICT kepada penduduk setempat dengan menggunakan kemudahan yang terdapat di Pusat Jalur Lebar Komuniti dan Medan Info Desa. Ia melibatkan duta universiti dari Universiti Sains Malaysia. Lokasi yang telah dipilih adalah Felda Besout 2, Perak dan program ini diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Pengajian Politeknik, FELDA dan Gabungan Perkumpulan Wanita (GPW).

iii.  SMARTORS - dalam program ini duta universiti akan bekerjasama dengan guru cemerlang untuk memupuk dan mempertingkatkan minat terhadap subjek matematik dan sains di kalangan pelajar sekolah. Pelajar UiTM telah dipilih sebagai duta universiti bagi program ini. Program perintis diadakan di Sekolah Kebangsaan Trolak Utara, Perak dengan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran.

iv.  Mobile Siswa - dalam program ini duta universiti akan menggunakan perpustakaan bergerak bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat setempat dengan berfokuskan kepada niche area bagi kawasan berkenaan. Program yang melibatkan duta universiti dari Universiti Islam Antarabangsa ini telah diadakan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.

v.  Agro Desa - dalam program ini duta universiti daripada UiTM akan membantu menyediakan petani dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi usahawan tani yang berjaya. Program ini diadakan di Parit, Mukim Belanja, Perak melalui kerjasama dengan  FAMA dan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti.

vi.  ME UniInterns - dalam program ini duta universiti akan membantu usahawan mikro memperbaiki prestasi perniagaan mereka dengan menggunakan model SME UniInterns daripada SME Corps. Duta Universiti dari USIM telah bersama-sama dengan wakil agensi SME Corp., MASMED-UiTM dan KKLW telah bekerjasama untuk membantu usahawan kecil dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengenengahkan potensi produk masing-masing. Program perintis bagi ME UniInterns telah diadakan di sekitar Gopeng dengan melibatkan produk kek tradisional dan juga makanan sejuk beku.

vii.  iParents - dalam program ini duta universiti telah bekerjasama dengan guru cemerlang bagi membantu ibu bapa yang mempunyai anak yang lemah dalam subjek sains dan matematik. Duta Universiti daripada UPSI bersama-sama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menjalankan program dengan melibatkan aktiviti-aktiviti yang menarik kepada pelajar sekolah di Felda Besout 1. Pelaksanaan aktiviti sains dan matematik yang menarik merupakan usaha untuk memupuk minat pelajar sekolah agar lebih meminati sains dan matematik.
-------------------------------------------
Sumber: PORTAL KPT

2 comments:

  1. macam mana nak sertai program2 yang dianjurkan?

    ReplyDelete
  2. Penyertaan adalah melalui mana-mana Persatuan Mahasiswa Johor di IPT.
    Rujuk link ini http://www.mahasiswajohor.my/2012/06/gabungan-anak-johor-gaj-ipt.html

    ReplyDelete