JOHOR BAHRU, 27 Dis - Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberi peluang seperti perdana menteri terdahulu yang juga melakukan kesilapan.
Sambil menegaskan baginda tidak memihak sesiapa, katanya Najib tetap adalah perdana menteri.
"Saya tahu perdana menteri banyak dibidas tetapi saya kata berikannya peluang. Terdapat isu-isu yang masih perlu ditangani, perlu meyakinkan rakyat, yang perlukan jawapan, tetapi saya mesti katakan bahawa ini juga harus ada kesudahannya.
"Setiap daripada kita ada membuat kesilapan tetapi kita mesti sedia belajar, betulkan kesalahan dan lakukan apa yang betul,” titah baginda dalam temu bual eksklusif dengan The Star.
Sultan Ibrahim juga menegaskan bahawa kedudukan baginda adalah di atas politik dan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak termasuk antara Najib dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Baginda bertitah setiap kali bertemu dengan sama ada Muhyiddin atau Najib, baginda cuba mengelakkan diri daripada bercakap tentang politik.
"(Muhyiddin) ada luahkan rasa tidak puas hati. Saya dengar dan menyimpannya. Saya juga berjumpa dengan perdana menteri dan elakkan bercakap mengenai politik dengannya.
"Biarlah ahli politik kendalikan hal politik. Saya di atas politik. Jika beliau (perdana menteri) memerlukan nasihat, saya di sini sebagai kawan," katanya.
Baginda berkata selain mesyuarat rasmi, Najib sering kali juga mengadapnya untuk tujuan tidak rasmi di mana kedua-dua mereka membincangkan isu-isu negeri.
Ini termasuk keperluan untuk meningkatkan kerjasama dengan Singapura yang menurut baginda difahami oleh Najib lebih baik berbanding pemimpin terdahulu.
"Saya tidak mahu ungkit kisah lalu dan saya tidak ingin menyelar mana-mana ahli politik, sama ada yang masih aktif atau sudah bersara. Perdana Menteri memahami dan menghargai keperluan untuk bekerjasama dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu.
"Saya dapati sukar untuk memahami rasional ataupun tidak rasional mana-mana pemimpin Malaysia yang mahu negara ini bergaduh dengan Singapura. Ini adalah apa yang saya panggil pemikiran bengkok," katanya.
Walaupun baginda tidak menyebut mana-mana nama, tetapi Sultan Ibrahim dipercayai merujuk kepada pengkritik lantang Singapura iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mahathir dilaporkan menuduh Najib ‘tunduk’ kepada jiran di selatan negara dengan membatalkan apa yang dikenali sebagai projek "jambatan bengkok".
Sumber: http://www.thestar.com.my/news/nation/2015/12/27/johor-ruler-im-above-politics-the-interest-of-the-rakyat-always-comes-first/
0 comments:
Post a Comment