Wednesday, May 31, 2017

Generasi muda perlu kreatif, inovatif realisasikan TN50


SEGAMAT 30 Mei – Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bukan sekadar pernya­taan aspirasi sebaliknya persiapan generasi muda melangkah ke dunia maju menjelang tahun 2050.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, generasi muda perlu memberi banyak idea, bertindak pantas, kreatif dan inovatif dalam merealisasikan aspirasi TN50.

“Semua aspirasi yang di­terima daripada perspektif belia ini mungkin juga satu cadangan serta hala tuju yang lebih terpe­rinci bagi memastikan ia diteri­ma sebagai sebahagian proses pembentukan program dan dasar kerajaan.

“Proses ini juga sebagai satu usaha untuk kita membina masa depan bagi hadapi segala kemungkinan dan sebab itu kerajaan meminta golongan muda dan belia ini terlibat dalam sesi dialog TN50 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam Sesi Dialog TN50 Pering­kat Daerah Segamat di Dewan Seri Temenggung Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Jementah, di sini baru-baru ini.

Sesi dialog itu menampilkan wa­kil 
Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anas Alimor sebagai moderator disertai Pengerusi Ja­watankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Pene­rangan negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Sesi tersebut merupakan kali pertama diadakan di daerah ini disertai 1,500 penuntut UiTM Johor, Kolej Komuniti, pelajar sekolah serta golongan belia profesional di daerah ini.

Anuar yang juga Mantan Presiden MBFM berkata, selain input golongan belia, panda­ngan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kepimpinan peringkat negeri atau kebangsaan diperlukan untuk bersama-sama menggerakkan usaha tersebut.

“Ini kerana dasar TN50 mesti dibangunkan dan diterjemahkan dengan cara yang menekuni semangat kolektif rakyat Malaysia dengan mengambil kira pandang­an dan cadangan semua pihak.

“Bagaimanapun, dalam usaha kita untuk mencapai wawasan serta dasar TN50 ini, terdapat dua perkara yang tidak boleh dilupakan iaitu agenda orang Melayu dan Islam yang sekian lama menjadi dasar di negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment