Tuesday, February 6, 2018

YPJ perkenal Tuisyen Digital RM1 sebulan

Peruntuk RM300,000 bantu anak keluarga kurang berkemampuan



PASIR GUDANG, 5 Feb - Kira-kira 25,000 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksi­ran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang mengikuti pakej pembe­lajaran tambahan serendah RM1 sebulan menerusi program e-Learning Johor. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan kerjasama Yayasan Pasir Gudang (YPG) melancarkan program pembelajaran digital itu dengan peruntukan berjumlah RM300,000. 

Beliau berkata, program itu bagi membantu pelajar dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan dan penyertaan terbuka kepada murid-murid pelbagai kaum yang bersekolah di negeri ini. 

“Program ini sebagai pembe­lajaran tambahan untuk pelajar yang disediakan menerusi laman sesawang dan boleh diakses secara atas talian pada bila-bila masa menerusi telefon bimbit, komputer riba atau alat elektro­nik lain. 

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi me­ningkatkan keupayaan anak-anak Johor dalam sektor pendidikan agar generasi muda tempatan da­pat bersaing dan merebut pe­luang bagi mempertingkatkan taraf hidup mereka,” katanya semasa merasmikan e-Learning Johor di Dewan Serbaguna Taman Mawar di sini, kelmarin. 

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan. 

Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, program itu menyediakan medium pem­belajaran tambahan dengan isi kandungan yang komprehensif serta silibus berpandukan sukatan pembelajaran Kementerian Pendidikan. 

“Setakat ini seramai 3,000 pelajar telah mendaftar dan terpilih menyertai program e-Lear­ning ini dan jumlah peruntukan yang disediakan akan ditambah pada masa akan datang sekiranya mendapat permintaan menggalakkan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau mene­gaskan, kerajaan negeri tidak menawarkan pembiayaan penuh atau biasiswa secara kepada semua murid bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan meliputi semua aspek dan lapisan masyarakat secara seimbang. 

“Kerajaan perlu beri tumpuan sama rata dalam semua aspek. Kalau kita hanya tumpu pada aspek pendidikan seperti yang dibangkitkan pembangkang dan tawarkan biasiswa kepada semua pelajar, bagaimana kita nak tingkatkan sektor ekonomi. Pelajar-pelajar ini nanti apabila keluar, mereka nak kerja apa? 

“Biasiswa adalah ganjaran bagi pelajar cemerlang sebab itu di pengajian tinggi, kerajaan tukarkan pinjaman pelajaran kepada biasiswa bagi pelajar cemerlang,” tegasnya sambil memberitahu Biasiswa Kenangan Dato’ Onn (BKDO) yang ditawarkan YPJ kepada 10 pelajar terpilih dari Pasir Gudang menerima RM600 setahun bagi pelajar tingkatan satu hingga lima dan RM1,000 setahun untuk pelajar tingkatan enam. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment