Sunday, February 11, 2018

"Sistem Pendidikan mampu lahir Modal Insan berkualiti" - Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap di hadapan siswa dan siswi baharu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Sesi Bersama Kepimpinan Negara Sempena Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu Program Sarjana Muda UTHM, di Parit Raja hari ini. - Foto BERNAMA

BATU PAHAT, 10 Feb : Kerajaan memberi keutamaan terhadap aspek pendidikan negara bagi melahirkan lebih ramai modal insan berketerampilan dan berkualiti. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan besar dalam Bajet setiap tahun khusus untuk pendidikan awal atau pendidikan tinggi negara. 

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan melabur dengan jumlah yang besar dalam pendidikan tinggi kerana mahu Malaysia menjadi negara maju dengan sasaran 60 peratus tenaga kerja memiliki diploma atau ijazah pertama. 

"Kebanyakan pemimpin di negara ini juga lahir dari kejayaan sistem pendidikan negara ini yang dibentuk dengan baik. 

"Pihak yang menuding jari bahawa sistem pendidikan negara kita salah dan tidak berkualiti perlu melihat diri mereka sendiri dan tanya apa yang disumbangkan mereka dalam menambah baik sistem sedia ada. 

"Mana mungkin saya berdiri di hadapan tuan-tuan hari ini jika tanpa sistem pendidikan negara yang baik. Saya sendiri anak seorang ustaz tapi mampu menjadi pemimpin disebabkan pendidikan negara yang disusun begitu baik. 

"Kita harus berterima kasih kepada kerajaan yang sudah membentuk sistem pendidikan yang baik dengan pelbagai kemudahan sehingga mampu mengeluarkan sekian banyak graduan berkualiti," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Pemimpin Negara Sempena Minggu Haluan Siswa (MHS) Pelajar Baharu Program Ijazah Sarjana Muda Semester II Sesi 2017/2018, di Dewan Tunku Mahkota Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly. 

Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk pembangunan baharu Kampus UTHM Tanjong Laboh. 

Sementara itu, Ahmad Zahid sempat meluangkan masa menziarahi Senator Rahemah Idris di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, di sini. 

Rahemah,59, yang juga Ketua Wanita UMNO Ayer Hitam sejak 2004 itu dikejarkan ke HSNI awal pagi semalam berikutan diserang angin ahmar. 

Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sejak Disember 2016 itu kini dalam keadaan stabil dan berada di bawah pemantauan doktor. 

Ahmad Zahid dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis meluangkan 10 minit bertanya khabar Rahemah selain memberi kata-kata semangat kepadanya. - BH ONLINE

0 comments:

Post a Comment