Tuesday, May 1, 2012

"Curahkan Bakti dan Kepakaran untuk Negeri setelah Tamat Pengajian" - Exco


USM Pulau Pinang, 28 April - Pelajar universiti diseru agar kembali mencurahkan bakti dan kepakaran di negeri sendiri setelah tamat pengajian bagi membantu di dalam proses pembangunan negeri masing-masing.

YB Hj. Md. Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor berkata pelajar di universiti adalah tenaga pakar yang amat bermakna buat sesebuah negeri dan tenaga-tenaga baru ini dapat melonjakkan lagi keupayaan sesebuah negeri untuk lebih cemerlang.

Menurut beliau, Kerajaan Johor sememangnya menawarkan pelbagai peluang pekerjaan untuk lepasan graduan yang berasal dari Johor dan pihak kerajaan negeri amat peka terhadap keperluan untuk membangunkan sumber intelek di negeri berkenaan.

"Lebih 40,000 peluang sedang menanti bakal-bakal graduan tempatan dan ini adalah satu peluang yang wajar dimanafaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Johor, kata beliau ketika berucap merasmikan Fiesta Kebudayaan Zapin Johor IPTA 2012 (FEKAZ) anjuran Ikatan Mahasiswa Mahasiswi Johor (IKMAR) di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia pada 28 April lalu.

Tambah beliau lagi, kerajaan inginkan belia Johor tahu dan sedia maklum bahawa kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada belia Johor dalam memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi Johor sentiasa terpelihara.

"Kerajaan Johor kini dalam memfokus dan membangunkan Iskandar Malaysia yang dahulunya sebagai Wilayah pembangunan Iskandar (WPI) yang bertujuan untuk menjana pembangunan ekonomi negeri Johor. Jadi, kerajaan amat memerlukan anda semua bagi membantu memacu ekonomi Johor seterusnya memastikan Iskandar Malaysia terkenal di seluruh dunia", tambah beliau.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menggesa agar budaya dan adat bagi semua negeri dipelihara dengan sebaiknya dan dipromosikan semaksimumnya ke serata pelusuk dunia.

Pertandingan Zapin Peringkat IPTA yang dianjurkan oleh IKMAR USM buat julung kalinya ini adalah bertujuan untuk mengumpulkan anak-anak Johor seluruh IPTA selain untuk membangkitkan keprihatinan belia Johor bagi membangun dan mengembangkan Tarian Zapin yang sinonim dengan negeri Johor.

Sebanyak 7 buah IPTA termasuk USM menyertai pertandingan ini. Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam muncul juara bagi pertandingan kali ini selain turut menerima Anugerah Kostum Terbaik. Tempat kedua pula disandang oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih tempat ketiga. Anugerah Khas Juri dimenangi oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). - www.usm.my

Baca juga :

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment