Friday, March 9, 2012

UTHM bakal jadikan Kluang bandar ilmu

Ditulis pada 20 Jan 2012 oleh Portal Rasmi Kerajaan Johor.


JOHOR BAHRU, 19 Jan - Dalam usaha meneroka, membangun serta mengembangkan ilmu pengetahuan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengorak selangkah ke hadapan dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Berterusan (CEC) di Kluang yang menfokuskan konsep pembelajaran sepanjang hayat (PSH).


Majlis perasmian yang diadakan pada 17 Januari 2012 tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Hou Kok Chung.


Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, penubuhan CEC UTHM di bandar Kluang ini merupakan satu langkah bijak dan tepat kerana Kluang merupakan sebuah bandar yang berpotensi untuk dijadikan bandar ilmu pada masa akan datang.

“Sebagai Ahli Parlimen Kluang, pembukaan cawangan ini memberi peluang kepada saya untuk mempromosikan CEC dalam lawatan kerja saya ke dalam dan luar negara dan diharapkan usaha ini dapat menarik seramai mungkin pelajar tempatan mahupun pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian pasca siswazah mereka di sini,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga merancang untuk meluaskan akses pengajian pasca siswazah di CEC, UTHM Kluang ini dengan menggandingkan lebih banyak universiti luar negara terutamanya dari China dan Taiwan dengan UTHM.

Terbaru, pihaknya bersama UTHM sedang merancang untuk menubuhkan program Kejuruteraan Keretapi di Kluang memandangkan daerah ini mempunyai stesen kereta api yang dapat memenuhi tuntutan pembelajaran dan pengajaran bagi program ini.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin dalam ucapannya berkata, bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran sentiasa releven dengan kehendak industri, pembelajaran sepanjang hayat yang dilaksanakan CEC ini telah diterapkan dengan elemen kemahiran insaniah dan kemahiran bahasa inggeris melalui kursus-kursus dan program yang ditawarkan.

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment