MERSING - Pembiayaan bagi sekolah-sekolah agama di Johor akan diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa akan datang yang belum ditetapkan.Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata dengan pengambilalihan itu, Kerajaan Negeri akan menggunakan peruntukan sekolah agama bagi kerja-kerja membaik pulih dan meningkatkan fasiliti seperti menggantikan kerusi dan meja.
“Peruntukan untuk sekolah agama yang disediakan saban tahun boleh digunakan untuk membaiki atau meningkatkan fasiliti sekolah agama supaya pelajar dan guru dapat memberikan tumpuan serta lebih selesa ketika sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Abdul Ghani berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor, di Dewan Institut Latihan Perindustrian, di sini hari ini.
Tambah Abdul Ghani, pendidikan agama di Johor telah melaksanakan Program Pintar Al-Quran di peringkat pra-sekolah, iaitu Tadika Agama Johor.
“Program ini menyasarkan supaya anak-anak di peringkat pra-sekolah mampu membaca dan khatam Al-Quran pada usia tersebut.
"Seterusnya program pengukuhan Al-Quran diteruskan ke Tahap Dua dengan Program Pemahaman Al-Quran. Di peringkat ini, murid-murid tahun 4 hingga 6 didedahkan kepada penafsiran serta huraian maksud kitab suci itu,” katanya.
Katanya, di peringkat menengah pula, program itu diteruskan melalui Program Tahfiz Shafi’e dan Tahfiz Ibnu Sina.
“Dengan ini dapatlah kita berusaha untuk terus melengkapkan asas pendidikan al-Quran di peringkat pendidikan agama,” katanya.
Abdul Ghani berkata, tumpuan juga diberikan kepada aspek kemahiran membaca dan menulis jawi.
“Sememangnya tulisan jawi sinonim dengan khazanah ilmu agama di negara ini yang perlu dipelihara dan diteruskan penggunaannya,” katanya.
Sumber: MEDKOM
0 comments:
Post a Comment