JOHOR BAHRU, 24 Sept - Mahasiswa di negara ini diseru memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk membantu negara mencapai status negara maju. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berkata dengan wujudnya lebih banyak institusi pengajian tinggi di negara ini berbanding pada masa lalu, tidak mustahil generasi masa kini mampu merealisasikan hasrat berkenaan.
“Dahulu Tanah Malaya (Malaysia) memang tiada universiti dan yang ada hanya di Singapura. Itupun hanya berstatus kolej. Kini di negara ini sudah ada banyak institusi pengajian tinggi yang mampu melahirkan mahasiswa yang mahir dalam sesuatu bidang.
“Dari segi ilmu dan pengetahuan, saya percaya mereka boleh lakukannya kerana mereka dilengkapi dengan pengetahuan canggih dalam setiap aspek,” katanya.
Tun Mahathir berkata demikian ketika berucap pada majlis Diskusi Kepimpinan Perdana Mahasiswa di Dewan Sultan Iskandar , Universiti Teknologi Malaysia, di sini baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Tun Mahathir turut menasihatkan pelajar supaya tidak terlalu ghairah untuk menjadi pemimpin.
“Usah terlalu mengimpikan untuk menjadi pemimpin kerana nanti kita tidak mahu anda akan melakukan apa sahaja untuk mencapai hasrat tersebut.
“Jika anda mahu menjadi pemimpin, lihatlah keadaan sekeliling dan buat analisa. Lihat juga mereka yang bakal anda pimpin kerana pemimpin yang baik ialah mereka yang membantu dan memperjuangkan hak masyarakat yang dipimpinnya.,” katanya.
Tun Mahathir turut menekankan kepentingan nilai moral dalam diri mahasiswa dan menyarankan mereka supaya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan.
“Selain daripada ilmu pengetahuan, apa yang lebih penting ialah nilai moral kerana ilmu sahaja tidak akan membentuk pelajar menjadi seorang yang baik. Ilmu sahaja tidak menjamin generasi sekarang dan akan datang mampu memimpin untuk kemajuan negara,” katanya.
0 comments:
Post a Comment