Wednesday, December 21, 2016

"Bekok bukan lagi pekan koboi"


LABIS - Sebut sahaja Bekok, semua orang terutamanya rakyat di negeri ini pasti terbayangkan kesejukan Air Terjun Sungai Bantang dan keindahan Taman Negara Endau Rompin-Selai yang terletak berhampiran pekan kecil di Bekok.


Dahulu, Bekok sering dilabel sebagai pekan koboi kerana terpinggir daripada arus pembangunan selain terletak kira-kira 64 kilometer dari bandar Segamat.

Bagaimanapun kini, kawasan itu kembali bernafas apabila menjadikan aktiviti eko dan agro-pelancongan sebagai sumber kekuatan.

Transformasi yang diperkenalkan pemimpin setempat di Parlimen Labis juga berjaya mengubah Bekok melalui suntikan pembangunan dan infrastruktur sempurna, sekali gus merapatkan jurang penduduk di kawasan berkenaan dengan masyarakat bandar.

Penghulu Mukim Bekok, Azman Abu Bakar berkata, walaupun terletak jauh dari pinggir bandar, segala kemudahan asas seperti sekolah, balai polis, balai bomba sukarela, klinik kesihatan, pejabat pos serta pasar telah tersedia di Bekok.

Menurutnya, kebanyakan majoriti penduduk di sini ialah kaum Cina (55 peratus), Melayu (30 peratus), India (10 peratus) dan Orang Asli (5 peratus) selain terdapat enam perkampungan Melayu serta tujuh perkampungan Orang Asli.

“Biarpun Bekok masih ‘dikepung’ dengan tumbuhan hijau, inisiatif kerajaan tetap diteruskan dengan membangunkan kawasan ini sebagai lokasi tarikan pelancong seperti Hutan Lipur Sungai Bantang dan Taman Negara Endau Rompin-Selai.

“Kawasan-kawasan tersebut kini menjadi destinasi peminat aktiviti lasak dan menjadi lokasi perkhemahan, seminar serta kem motivasi anjuran pelbagai agensi awam dan swasta,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, aktiviti-aktiviti ekonomi juga semakin rancak di pekan itu apabila Bekok semakin mudah diakses menerusi jaringan jalan raya yang baik dan selesa selain terdapat kemudahan pengangkutan awam seperti kereta api dan teksi.

Beliau berharap pengusaha bas awam juga dapat mengaktifkan semula perkhidmatan mereka di Bekok selepas beberapa tahun terhenti kerana terdapat permintaan tinggi daripada orang awam terutama bagi yang tidak mempunyai kenderaan.
Azman di hadapan salah satu tarikan baharu di Bekok.

Berbeza 13 tahun dahulu

Bagi peniaga, Ramlah Sarip, 64, di sebalik jatuh bangun pekan itu, perniagaan makanan yang diusahakan secara kecil-kecilan dengan menyewa gerai Majlis Daerah Labis (MDL) tetap beroperasi sehingga kini.

Dia yang telah berniaga lebih 40 tahun merupakan antara peniaga terawal di Bekok mengakui sejak tiga tahun lalu pekan itu sudah jauh berbeza berbanding 13 tahun dahulu.

“Kawasan ini dulu memang agak sunyi. Ramai juga peniaga yang gulung tikar dan penduduk asal berpindah.

“Tapi, kedai mak cik masih dikunjungi orang ramai terutamanya pelancong dari luar. Kedatangan mereka (pelancong) juga semakin meningkat selepas pelbagai usaha dilakukan sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, walaupun Bekok berstatus pekan lama, kawasan itu masih bebas daripada sebarang ancaman jenayah selain aktiviti sosial juga terkawal.

Seorang lagi peniaga, Sarimah Rahman, 40, berkata, dia yang berhijrah ke Bekok 13 tahun lalu selepas berkahwin turut bersyukur kerana pelbagai kemudahan dan infrastruktur asas yang lengkap telah tersedia berbanding ketika awal penghijrahannya dahulu.

“Dulu kalau nak beli barang masakan, saya terpaksa pergi ke Pekan Chaah kira-kira 17 kilometer kerana ketika itu tiada pasar atau kedai yang menjual bahan-bahan mentah.

“Ketika itu jam 9 malam, Bekok dah senyap sunyi, tapi sekarang pelbagai aktiviti dilakukan penduduk setempat bagi mengisi masa terluang dan bagi saya ini merupakan perkembangan yang positif," katanya.

Mural hiasi bangunan lama

Selain Hutan Lipur Sungai Bantang dan Taman Negara Endau Rompin-Selai, salah satu tarikan pengunjung ke Bekok adalah lukisan muralnya yang menghiasi hampir keseluruhan bangunan lama di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, melalui Program Transformasi Bekok (BTP), bangunan lama yang ada dihiasi lukisan mural berkonsepkan flora dan fauna.

Antaranya bangunan di Jalan Wijaya, di sini, yang dihiasi lukisan Air Terjun Sungai Bantang dan beliau menjangkakan lebih banyak mural akan dilukis pada tahun ini.
Tee Yong (dua, kanan) menunjukkan salah satu lukisan mural yang terdapat di pekan Bekok.

Menurut Tee Yong, pihaknya juga menjalankan pelbagai promosi mengenai tarikan Bekok seperti penganjuran Festival Bekok dan Jom Balik Bekok yang diadakan setiap tahun bermula tahun lalu.

“Kita berharap sekiranya Jalan Bekok-Paloh dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, jumlah pengunjung ke Bekok akan meningkat dan kita akan berusaha memajukan lagi Bekok,” katanya. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment