JOHOR BAHRU, 7 DIS - Usahawan muda bakal menerima inisiatif terbaru apabila Khazanah Nasional Berhad memperkenalkan bantuan khas berbentuk geran kepada peniaga kecil dan usahawan muda.
Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata beliau akan mengumumkan secara terperinci bantuan tersebut bagi membantu usahawan muda dalam bentuk geran melalui Khazanah Nasional.
“Bantuan ini kelak diharap dapat membantu usahawan muda untuk terus maju dan berjaya dalam perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau yang diiringi oleh Menteri Besar Johor Dato' Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Johor Baru Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata demikian di dalam program bertemu golongan usahawan Johor di Kilang Bateri di sini sempena lawatan kerja rasmi ke Negeri Johor yang bermula Isnin.
Di dalam ucapan ringkasnya, Najib berkata Kilang Bateri adalah hasil inovatif anak muda yang berupaya melahirkan pusat perniagaan kreatif sehingga diiktiraf sebagai nadi Johor Bahru.
“Saya amat berbangga dengan usaha yang diambil sekumpulan anak muda ini,” katanya.
Perdana Menteri, yang berada di bandaraya ini untuk lawatan kerja dua hari itu meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan lebih 500 pengunjung di situ.
Kilang Bateri, yang dahulunya cukup sinonim dengan penghasilan bateri jenama “Eveready,” kini telah berubah wajah menjadi tempat bersantai serta menjamu selera popular di bandaraya ini.
Terdapat kira-kira 184 gerai makanan, minuman, pakaian, pusat kecantikan dan kedai buku, menjadi antara destinasi popular seisi keluarga di sini.
0 comments:
Post a Comment