Sunday, September 17, 2017

"80 MAHASISWA MANFAAT CUTI HARI MALAYSIA SERTAI EKSPLORASI DARUL TA’ZIM"

Oleh: Nur Syahirah Binti Mohammad Shah

SKUDAI, 17 Sept – Seramai 80 orang mahasiswa termasuk mahasiswa antarabangsa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memanfaatkan cuti umum bersempena Hari Malaysia semalam dengan menyertai program Eksplorasi Darul Ta’zim. 

Program santai sehari anjuran Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI) UTM itu membawa para peserta melawati beberapa lokasi tumpuan utama pengunjung di sekitar Bandaraya Johor Bahru. 

Pengarah program, Nur Syahirah binti Mohammad Shah berkata, program santai ini adalah untuk mengeratkan hubungan mesra sesama ahli dan mahasiswa UTM melalui aktiviti di luar kampus oleh persatuan. 

“Di samping kami memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan mengenai sebahagian lokasi-lokasi menarik yang berkait dengan warisan dan pembangunan yang terdapat di negeri ini,” katanya. 

Tambahnya, antara lokasi tumpuan yang mereka lawati termasuklah Laman Mahkota Istana Bukit Serene, Zoo Johor, Johor Bahru City Square, Bazar Karat, Legaran Sungai Segget, Stadium Tan Sri Dato' Hj. Hassan Yunos Larkin dan makan tengah hari di Kilang Bateri. 

 

 

 

Menurut beliau lagi, ini antara program ringkas yang disusun oleh Sejati UTM pada semester ini dan akan menyusul beberapa lagi program istimewa untuk disertai oleh semua. Bukan sahaja Mahasiswa Johor di UTM, malah sesiapa juga termasuk warga masyarakat di sekitar UTM boleh terlibat sama. 

“Antaranya dalam masa terdekat ini, kami bersama rakan-rakan dari Persatuan Mahasiswa Anak Jati Johor (MAHAJJ) UTHM selaku tuan rumah akan menganjurkan program Simposium Mahasiswa Johor bagi Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia pada 21 September 2017 ini,” katanya. 


0 comments:

Post a Comment