Mahasiswa Penentu Masa Hadapan Johor
JOHOR BAHRU, 26 Ogos - Golongan mahasiswa diseru agar berusaha lebih keras dalam mencapai apa jua kejayaan baik dari segi pendidikan atau aktiviti kemasyarakatan dalam mempersiapkan diri mereka sebagai pelapis negeri dan negara.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mahasiswa pada hari ini mempunyai peranan penting dalam menggerakkan agenda dan masa hadapan Johor.
"Kerajaan negeri telah berusaha keras memastikan segala bentuk pelaburan dan pembangunan ekonomi Johor pada hari ini adalah untuk kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan selain cuba menyelesaikan apa jua masalah rumit yang dihadapi pada hari ini.
"Ini semua kita lakukan agar apabila tampuk kepimpinan kita serahkan kepada pemimpin pelapis ini, mereka tidak perlu berhadapan dengan persoalan rumit kerana semuanya telah diselesaikan oleh pemimpin terdahulu," katanya ketika berucap pada Majlis Inisiatif Mahasiswa Milenia Johor 2017 di sini hari ini.
Beliau berkata, segala pertumbuhan ekonomi yang sedang berjalan pada hari ini adalah bentuk perancangan jangka panjang kerajaan negeri dalam memastikan mahasiswa terutamanya anak-anak Johor mendapat peluang pekerjaan di dalam negeri ini.
Khaled berkata, kerajaan negeri pada hari ini berhasrat untuk menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Tenggara.
"Hasrat kita jelas, untuk itu kita perlukan pemimpin yang berkebolehan untuk kita bersama-sama bergerak di bawah satu pasukan ‘Team Johor’.
"Gagasan Johor Berkemajuan yang kita perkenalkan juga bukan sahaja lihat Johor maju tetapi kita mahu melahirkan masyarakat yang baik, yang bahagia dan sejahtera kerana kemajuan sebenar tidak boleh diukur dengan bangunan pencakar langit, pusat membeli-belah atau projek-projek mega," jelasnya.
Hadir sama pada program itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat, Dato’ Onn (Iklas) Johan Arifin Mohd Ropi serta lebih 600 mahasiswa dan mahasiswi anak Johor dari seluruh negeri. – Bernama
0 comments:
Post a Comment