Wednesday, July 11, 2018

Kenyataan - Insentif Harapan Siswa

[ KENYATAAN ]

Insentif Harapan Siswa Johor

1. Kami ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Johor, Dato' Osman bin Sapian, kerana telah meneruskan skim khas bantuan pendaftaran pelajaran yang memberikan manfaat kepada rakyat khususnya mahasiswa.

2. Insentif Harapan Siswa yang dikatakan sebagai janji 100 hari Kerajaan Johor kini, dilihat umpama menciplak dan mengubah nama Skim Bantuan Pendaftaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang telah diperkenalkan sejak sekian lama.

3. Ia dilihat hanyalah seperti skim bantuan sama yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor sebelum ini.

4. Sebelum ini, bantuan yang sama turut telah diperkenalkan kepada mahasiswa yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Johor termasuk Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dan beberapa Institusi di EduCity Iskandar Puteri.

5. Pada ketika itu, bantuan turut diberikan juga dengan memansuhkan 100 peratus caj pinjaman pelajaran YPJ (Caj Perkhidmatan 4 peratus) kepada peminjam baharu.

6. Ia terbukti meringankan beban kos melanjutkan pelajaran terutama membabitkan mahasiswa baharu yang mendaftar dan memulakan pengajian mereka serta mahasiswa yang bakal tamat pengajian.

7. Dengan Rizab kerajaan negeri yang tinggi, kami mengharapkan bentuk bantuan baharu yang lebih baik bagi membantu mahasiswa Johor dan bukannya sekadar mengulang kembali apa yang telah dilakukan kerajaan terdahulu dengan hanya menukar nama.

8. Justeru, kami memohon jasa baik YAB. Datuk Osman Sapian dan pasukannya untuk menambah baik skim sedia ada atau memberikan bantuan baharu yang lebih baik dengan idea yang lebih segar.

9. Kami juga mohon keprihatinan beliau untuk memastikan para penerima pinjaman YPJ dapat menerima wang pinjaman mereka pada awal semester.

10. Ini bagi memastikan kelangsungan pengajian dan mengelakkan mereka dari terjerumus ke lembah “pinjam meminjam” dan “mengemis” bantuan kewangan.

11. Akhir sekali, kami berharap, jika sekiranya terdapat pelbagai inisiatif baik yang telah ada dimulakan oleh kerajaan Johor sebelum ini dikekalkan jenamanya dan bukan sekadar mengubah nama semata-mata demi langkah populis yang disebabkan oleh perbezaan pandangan politik mahupun pendirian.

12. Kami mengharap sesuatu skim bantuan dengan idea baharu yang lebih segar demi kepentingan dan manfaat kepada semua rakyat Johor khususnya buat mahasiswa.

Tamat.


Muhamad Syafik Rahmat
Kepimpinan Mahasiswa Johor

11 Julai 2018

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment