Tuesday, July 17, 2018

PTPTN: Tempoh 9 hari peminjam kemas kini data peribadi

KUALA LUMPUR, 16 Julai : Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberi tempoh sembilan hari hingga 25 Julai ini untuk mengemas kini data peribadi, terutama dari segi maklumat pendapatan mereka.


Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata kerjasama itu penting supaya janji 100 hari dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi penangguhan pembayaran balik oleh peminjam berpendapatan bawah RM4,000 sebulan, dapat dilaksanakan.

"Bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan, maklumat pendapatan peminjam yang tepat dan terkini amat diperlukan.

"Ini penting bagi menentukan tarikh tepat untuk melaksanakan penangguhan pembayaran balik pinjaman itu. Selagi tidak memperoleh kerjasama penuh, PTPTN tidak dapat memberikan tarikh sebenar.

"Bagi yang gagal mengemas kini, PTPTN beranggapan mereka tidak berhasrat memohon penangguhan pembayaran balik dan tidak termasuk dalam dasar baharu bayaran akan dibuat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Sebelum ini, PTPTN mengesahkan 429,945 peminjam sudah bebas daripada senarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan boleh ke luar negara sejak awal Jun lalu.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, peminjam boleh mengemas kini maklumat secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN pada ruangan Pengemaskinian Maklumat Pendapatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, penangguhan pembayaran balik itu bukan tiket untuk tidak membayar pinjaman PTPTN.

"Setiap hutang wajib dibayar biarpun sedikit demi sedikit. Malah, PTPTN menyasarkan kutipan sebanyak RM4 bilion tahun ini bagi membantu individu lain yang ingin memohon pinjaman PTPTN pula," katanya.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menafikan pelantikannya sebagai Pengerusi PTPTN berkuat kuasa 18 Jun lalu, bertentangan manifesto PH.

Beliau berkata, PTPTN adalah sebuah badan berkanun, manakala manifesto PH menggariskan lantikan politik tidak dibenarkan untuk jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja.

"Memang lantikan politik bertentangan manifesto PH tetapi hanya untuk jawatan di dalam syarikat GLC dan bukannya badan berkanun.

"Isu ini sengaja ditimbulkan. Malah, saya menjemput mana-mana pihak yang mengkritik pelantikan ini untuk membaca semula manifesto itu," katanya. - BH

============================================
PTPTN - AKUAN PENDAPATAN PEMINJAM PTPTN

MAKLUMAT PENTING - Adalah dimaklumkan PTPTN telah membuka (live) Portal Pengemaskinian Maklumat Pendapatan Peminjam. Semua peminjam yang patut mula bayar balik yang mempunyai baki hutang adalah dikehendaki membuat pengemaskinian di www.ptptn.gov.my/akuanpendapatan.

Tujuan pengemaskinian adalah untuk mendapatkan maklumat pendapatan peminjam, pekerjaan dan perhubungan yang terkini bagi tujuan merangka dasar baharu penangguhan bayaran balik pinjaman berasaskan pendapatan peminjam.

Tempoh pengemaskinian adalah mulai 16 hingga 25 Julai 2018. Peminjam yang tidak mengemaskini maklumat tidak akan tertakluk kepada sebarang pelaksanaan dasar baharu penangguhan bayaran balik pinjaman.

Peminjam masih dikehendaki meneruskan bayaran balik pinjaman masing-masing sehingga makluman mengenai pelaksanaan dasar baharu penangguhan bayaran balik diumumkan kelak.

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment