Tuesday, March 19, 2013

Keputusan STPM di Johor Meningkat

JOHOR BAHRU, 19 Mac – Seramai 5,127 daripada 5,311 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 mencatatkan keputusan lulus penuh dengan sekurang-kurangnya satu prinsipal bagi mata pelajaran.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.42 peratus (%) berbanding tahun 2011 yang mencatatkan seramai 4,578 calon mendapat keputusan yang sama.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani berkata, daripada jumlah itu, seramai 282 calon mencapai kelulusan penuh untuk lima mata pelajaran, manakala 2,724 calon pula lulus penuh bagi empat mata pelajaran.

“Kelulusan calon di peringkat prinsipal menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2011 di semua peringkat iaitu lima prinsipal (0.29%), empat prinsipal (1.11%), dua prinsipal (0.16%) dan satu prinsipal (1.32%) kecuali tiga prinsipal merosot 1.48%.

“Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran telah meningkat dari 56.6% atau 3,006 calon pada tahun lalu, berbanding 55.2% atau 2,629 pada tahun 2011,” katanya kepada media semasa pengumuman keputusan STPM 2012 di Jabatan Pelajaran Johor, di sini, semalam.

Mohd Nor berkata, sebanyak 34 buah sekolah mencapai lulus penuh berbanding 30 sekolah pada tahun 2011, dan 16 buah sekolah berjaya mengekalkan pencapaian 100% lulus penuh seperti tahun 2011.

“Antara sekolah berkenaan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Bandar Penawar, Kota Tinggi; SMK Perempuan Sultan Ibrahim; SMK Ledang, Muar; SMK Sultan Ibrahim, Kulaijaya; SMK Tinggi Batu Pahat; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa, Segamat; SMK Yong Peng, Batu Pahat dan SMK Sri Perhentian, Pontian.

“Manakala 18 buah sekolah meningkat 100 peratus lulus penuh termasuklah SMK Chaah, Segamat (19.23%); SMK Tun Dr Ismail, Muar (13.89%); SMK Adela, Kota Tinggi (10.53%); SMK Jementah, Segamat (10%), SMK Raja Muda, Muar (7.14%) dan SMK Gelang Patah (lima %).

“Sekolah yang tertinggi mencapai peratusan di peringkat empat dan lima prinsipal adalah SMK Agama Bandar Penawar, Kota Tinggi (90.91%), SMK Jementah, Segamat (86.67%) dan SMK Perempuan Sultan Ibrahim (79.49%),” katanya.

Jelasnya, bilangan calon yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 turut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.5% apabila 72 calon berjaya mencapai keputusan itu berbanding 41 calon pada tahun sebelumnya. - SINAR

0 comments:

Post a Comment