Monday, March 18, 2013

UiTM Sedia 50,000 Tempat


UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) menawarkan 50,000 tempat di peringkat pengajian program Asasi, Diploma, Ijazah Pertama, Sarjana dan Doktor Falsafah untuk ambilan perdana pada Mei ini.

Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof. Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, maklumat terperinci berkaitan program pengajian dan syarat kemasukan boleh diperoleh semasa Ekspo Selangkah ke UiTM 2013.

''Program tahunan ini menjadi pusat sehenti bermaklumat kepada kumpulan sasaran seperti pemohon, pelajar, ibu bapa, guru dan komuniti setempat untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi, akreditasi serta pembiayaan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ setaraf dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / setaraf.

''Malah, ambilan kali ini adalah unik kerana para pelajar boleh mendapatkan double major untuk pengajian di peringkat diploma dan ijazah yang berlainan," katanya kepada Helo Kampus di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurut beliau, tujuan utama ekspo itu untuk mempromosi dan menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian baharu yang ditawarkan oleh UiTM mulai sesi akademik 1 2013/2014.

"Ekspo ini juga bertujuan menyampaikan maklumat mengenai pelaksanaan dasar pemilihan kemasukan ke program Mengubah Destini Anak Bangsa," ujarnya.

Di samping itu, ekspo itu juga bermatlamat mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksasaan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan UiTM melalui aplikasi Dalam Talian Sistem dan Sistem Selangkah.

Pengunjung ekspo juga berpeluang untuk mengetahui maklumat mengenai pelaksaan dasar pemilihan kemasukan ke UiTM yang mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Sahol Hamid memberitahu, melalui ekspo berkenaan, dapat memastikan calon IPT mempunyai pengetahuan dalam bidang yang dipilih demi mengurangkan kadar 'tersalah pilih program' dan 'pertukaran program'.

Ekspo Selangkah Ke UiTM 2013 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 23 dan 24 Mac ini kecuali di Terengganu iaitu pada 30 dan 31 Mac. - UTUSAN 

0 comments:

Post a Comment