BATU PAHAT: Kerajaan Negeri akan memastikan pembinaan Rumah Mampu Milik di Johor diperluaskan diseluruh daerah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata usaha berkenaan dilakukan bagi memastikan nasib rakyat terbela, di samping memenuhi impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri.
“Usaha ini merupakan antara komitmen dari kerajaan bagi memastikan setiap masalah rakyat untuk memiliki rumah kediaman dapat diselesaikan. Ini kerana kehidupan rakyat semakin hari bertambah baik dan sudah tentu mereka inginkan keselesaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Mampu Milik Magma Garden, di sini Sabtu lalu.
Dalam ucapannya itu, beliau berkata pada masa hadapan Kerajaan Negeri terlebih dahulu akan mengkaji latar belakang pemaju supaya kejadian projek rumah terbengkalai dapat dielakkan.
Katanya, bagi pemaju yang gagal mengikuti perancangan pembinaan rumah mampu milik, Kerajaan Negeri akan menyenarai hitamkan syarikat berkenaan dan hanya memberi laluan kepada syarikat yang mempunyai rekod bersih sahaja.
“Syarikat pemaju yang layak dan diberikan kelulusan untuk pembinaan rumah mampu milik akan dipantau bagi memastikan semua projek di teruskan dan tidak tergendala,” katanya.
Rumah mampu milik diseluruh Johor adalah 180,000 unit dan daripada jumlah itu, 23, 645 unit berada diluar kawasan Iskandar Malaysia.
-------------------------
Sumber: pmbj.johordt.gov.my
0 comments:
Post a Comment