Thursday, November 14, 2013

Johor catat bajet lebihan tiga tahun berturut-turut


KOTA ISKANDAR: Ekonomi Johor berada di landasan yang tepat apabila sekali lagi mencatatkan bajet lebihan untuk tiga tahun berturut-turut.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semasa membentangkan Bajet 2014 berkata Bajet 2014 menganggarkan Kutipan Hasil berjumlah RM1,064.59 juta, manakala Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM1,062.57 juta.

“Oleh itu, lebihan bagi Bajet Mengurus tahun 2014 adalah sebanyak RM2.02 juta.

“Bajet 2014 juga menyediakan peruntukan pembangunan dengan anggaran berjumlah RM296.80 juta,” katanya.

Beliau berkata, hasil Kerajaan Negeri bergantung kepada tiga komponen utama, iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil.

“Kutipan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2014, jumlahnya dianggarkan sebanyak RM1,064.59 juta berbanding anggaran tahun 2013 yang berjumlah RM908.66 juta.

“Daripada jumlah tersebut, hasil cukai dianggarkan sebanyak RM398.46 juta, hasil bukan cukai dianggarkan sebanyak RM478.36 juta dan terimaan bukan hasil RM187.77 juta.

Katanya lagi, di bawah peruntukan mengurus sejumlah RM403.44 juta adalah bagi emolumen dan RM261.87 juta disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan, manakala RM360.76 juta diperuntukan kepada pemberian dan kenaan bayaran tetap.

“Sejumlah RM16.06 juta disediakan untuk pembelian aset dan RM20.44 juta untuk perbelanjaan lain,” katanya.

Mengenai pelaburan di Johor, Mohamed Khaled berkata, sehingga Ogos 2013 jumlah keseluruhan pelaburan bagi sektor pembuatan mencecah kira-kira RM8.8 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM3.3 bilion atau 40 peratus berbanding keseluruhan tahun 2012.

“Pelaburan langsung asing masih kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai berjumlah RM6.6 bilion atau 75 peratus dari jumlah keseluruhan.

“Manakala pelaburan domestik pula mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM2.2 bilion atau 25 peratus.

Tambahnya lagi, bagi pelaburan langsung asing, Amerika Syarikat merupakan pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.7 bilion atau 31 peratus dari jumlah keseluruhan.

“Ini diikuti Belanda dengan jumlah pelaburan bernilai RM2.2 bilion iaitu 25 peratus dan Singapura yang menyumbang pelaburan sebanyak RM1.1 bilion iaitu 13 peratus,” katanya.

Ujarnya, selain pelaburan dalam sektor pembuatan, industri Elektronik dan Petroleum juga penyumbang utama pelaburan di Johor.

“Sehingga Ogos 2013, industri elektronik telah menyumbang sebanyak RM3.5 bilion atau 40 peratus dari jumlah pelaburan keseluruhan.

“Ini disusuli oleh industri berasas Petroleum dan Petro-kimia dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion atau 28 peratus.

“Pelaburan yang selebihnya disumbangkan oleh pelaburan dalam industri pembuatan makanan dan barangan logam asas masing-masing dengan nilai RM1.4 bilion atau 15 peratus dan RM290 juta atau sebanyak tiga peratus,” katanya.
------------------------------------------

0 comments:

Post a Comment