Tuesday, June 19, 2012

Berbakti Kepada Masyarakat Jadi Keutamaan Mahasiswa Johor

SALAM TA'ZIM MAHASISWA JOHOR

Pengenalan
Gabungan Anak Johor (GAJ) bertekad untuk bergerak aktif dalam merancang dan melaksanakan program serta usaha-usaha ke arah pembangunan mahasiswa Johor yang intelek dan berwibawa serta membantu Kerajaan Negeri Johor dalam mempertingkatkan taraf hidup masyarakat dan kemajuan negeri Johor. 

Bertunjangkan pada tujuan utama untuk menabur jasa dan menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negeri Johor, seluruh organisasi mahasiswa Johor di bawah GAJ sentiasa merancang dalam menganjurkan program yang bermatlamat agar mahasiswa Johor pulang berbakti di negeri sendiri. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi yang berada di luar Johor. Jauh merantau di negeri orang, semangat berkobar untuk berbakti. 

Pada bulan Januari lalu, sejumlah mahasiswa Johor daripada Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) UKM dan Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) USM turun ke tempat sasaran mereka di Benut, Pontian dan Ayer Hitam, Batu Pahat dengan melancarkan Program Khidmat Masyarakat dan Bakti Siswa. Mereka tinggal bersama penduduk kampung selama 3 hingga 5 hari dengan menimba pengalaman dan pengetahuan daripada kehidupan masyarakat luar bandar. 



Pada bulan Mei pula, mahasiswa dari Majlis Anak Johor (MAJOR) UPSI dengan jayanya telah menganjurkan Program Anak Angkat bersama masyarakat Felda Linggiu, Kota Tinggi. 



Taqwim 2012 diteruskan lagi dengan penganjuran program kemasyarakatan ini. 

Jelajah Johor Fasa II Anjuran Anak Johor UMT 


Dengan bertemakan "Mahasiswa Dekati Masyarakat", Mahasiswa Johor dari Sekretariat Anak Johor (SOHOR) Universiti Malaysia Terengganu menganjurkan Program Jelajah Johor Fasa II pada 27 Jun hingga 5 Julai 2012.

Program ini akan menjelajah ke beberapa kampung di 3 buah daerah iaitu Kampung Ayer Merah, Mersing (27-29 Jun), Kampung Permatang Sepam, Pontian (30 Jun-2 Julai) dan Kampung Batu Ampat, Kota Tinggi (3-5 Julai).

Program ini adalah kesinambungan daripada Jelajah Johor Fasa I yang berjaya dianjurkan pada Julai 2011, yang telah menjelajah di 6 buah daerah. 


Bakti Siswa (BAKSIS) Anjuran Anak Johor UUM 


Bertemakan "Masyarakat Cemerlang Pemangkin Kecemerlangan Ummah", Bakti Siswa (BAKSIS) ini dianjurkan oleh mahasiswa Johor dari Adhoc Mahasiswa Anak Johor (AMANAH) Universiti Utara Malaysia. 

BAKSIS ini akan diadakan selama 3 hari bermula pada 1 hingga 3 Julai 2012 dan bertempat di Kampung Sungai Nibong, Batu Pahat. 

Kesimpulan
Program yang berkonsepkan khidmat kemasyarakatan dan keluarga angkat ini merupakan program utama dalam taqwim perancangan oleh setiap organisasi mahasiswa Johor terutama IPTA. 

Sesungguhnya, usaha ini harus dipuji dan disokong oleh semua pihak serta sedia menghulurkan bantuan sama ada dari segi sumbangan barangan keperluan mahupun sumber kewangan. Para mahasiswa pula diseru agar meneruskan lagi usaha murni ini malah mempergiatkan penganjurannya pada setiap sesi semester. 

GAJ mengucapkan syabas dan semoga berjaya terhadap penganjuran program ini. Tunjukkan identiti sebenar kita sebagai mahasiswa Johor yang miliki daya intelektual yang tinggi dan bakal diangkat menjadi pemimpin akan datang. 

Johor Kedah Johor Terengganu,
Sultan Berdaulat Payung Negeri,
Merantau Jauh Menuntut Ilmu,
Kami Pulang Untuk Berbakti.

:: GEMILANG ANAK JOHOR ::


Oleh: Penyelaras GAJ IPTA. 

Related Posts:

4 comments:

  1. steady YDP GAJ..

    anak kerbau mandi berdiri,
    tercucuk pula mawar berduri,
    kami datang menabur budi,
    insyaALLAH hingga ke akhir nanti..

    salam satu MALAYSIA dari kami warga UUM sintok :)

    ReplyDelete
  2. wahh.. igt xde yg nk beli pantun xseberapa ni..
    hehehe.. JOHOR TERBAIK !

    ReplyDelete
  3. Nantikan program dari saya utk anda laksanakan hujung tahun ini...

    ReplyDelete