Sunday, August 26, 2018

PERMOHONAN INSENTIF HARAPAN SISWA 2018 (SESI OGOS)

PERMOHONAN INSENTIF HARAPAN SISWA 2018 (SESI OGOS)
SKIM BANTUAN PENDAFTARAN IPT ] 

AGENSI: YAYASAN PELAJARAN JOHOR (YPJ) 


Dimaklumkan bahawa Permohonan Insentif Harapan Siswa (Dahulu disebut Skim Bantuan Pendaftaran IPT) bagi sesi Ogos 2018 untuk kemasukan pelajar baharu tahun 2018 telah dibuka mulai 26 OGOS sehingga 17 SEPTEMBER 2018. 

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN : 

  1. Pemohon mestilah Warga Negeri Johor dan menetap di negeri Johor sahaja ; 
  2. Terbuka kepada penuntut tahun 1 (semester pertama) taraf Diploma dan Ijazah Sarjana Muda (Sepenuh Masa) yang melanjutkan pengajian ke mana-mana IPTA dan IPTS terpilih (Kolej YPJ, EduCity & Kolej Marsah) ; 
  3. Pemohon telah mendapat Surat Tawaran kemasukan daripada Institusi ; 
  4. Tempoh kursus yang diikuti adalah satu (1) tahun atau lebih ; 
  5. Pendapatan Ibu DAN Bapa / Penjaga tidak melebihi RM4,000.00 sebulan atau tidak melebihi RM5,000.00 sebulan jika tanggungan 5 orang dan ke atas ; 
  6. Pemohon hanya layak menerima bantuan pendaftaran sekali sahaja untuk setiap taraf pengajian ; 
  7. Pemohon tidak menerima apa-apa bantuan pendaftaran dari agensi-agensi lain. 

CARA MEMOHON :

LANGKAH 1 :
Pemohon WAJIB mendaftar Pra Permohonan terlebih dahulu. Sila (klik) Daftar Sekarang ! dan isikan lengkap.

[ PENTING: Pemohon yang tidak membuat Pra-Permohonan adalah dianggap tidak lengkap. ]

LANGKAH 2 :
Muat turun Borang Permohonan 
dan isikan lengkap. (Klik Sini) Muat turun Sekarang ! 

LANGKAH 3 :
Hantarkan BORANG PERMOHONAN beserta DOKUMEN SOKONGAN (baca senarai di bawah) yang telah lengkap dan DISAHKAN ke Pejabat YPJ sebelum atau pada 17 SEPTEMBER 2018. Borang dan dokumen juga boleh dihantar secara poslaju ke alamat YPJ (Sila rujuk sini).



SENARAI DOKUMEN YANG PERLU DIHANTAR :
  1. Borang Permohonan yang telah lengkap ; 
  2. Salinan Kad Pengenalan Pelajar ; 
  3. Salinan Kad Pengenalan Ibu dan bapa atau Penjaga ; 
  4. Salinan Surat Tawaran Kemasukan ke Institusi ; 
  5. Salinan Resit Pembayaran Yuran (bagi yang telah mendaftar) ; 
  6. Salinan Akaun Bank Islam (M) Berhad tanpa buku (PASSBOOK-LESS ACCOUNT) sahaja. [ Nota: 1. Salinan Resit Pembayaran BIMB Tidak Diterima. 2. Pelajar perlu membuka akaun Bank Islam jika tiada. ] 
  7. Salinan Slip Gaji atau Penyata Pendapatan Ibu DAN Bapa / Penjaga 
  8. Sekiranya Ibu dan Bapa atau Penjaga tidak mempunyai slip gaji (Bekerja Sendiri) ATAU tidak bekerja (Suri rumah / Pesara / Pencen / tiada punca pendapatan), sila muat turun Borang Pengesahan Pendapatan (klik) dan pemohon WAJIB melengkapkannya, seterusnya hendaklah disahkan oleh PesuruhJaya Sumpah / Pegawai gred A / Penghulu / yang setaraf dengannya ] ; 
  9. Salinan Sijil Kematian / Sijil Perceraian (jika berkaitan).
** Semua dokumen sokongan hendaklah disahkan oleh Pegawai profesional / Pegawai gred A / Penghulu / yang setaraf dengannya.

Keterangan lanjut, layari https://www.ypj.gov.my/ atau hubungi Bahagian Pinjaman YPJ di talian 07-2344355 atau emel : bantuanpendaftaran@ypj.gov.my

SEKIRANYA PEMOHON TIDAK MENERIMA SEBARANG SMS/EMEL DALAM TEMPOH 3 BULAN (WAKTU BEKERJA) DARI TARIKH TUTUP PERMOHONAN, PERMOHONAN ADALAH DIANGGAP TIDAK BERJAYA. 

" SELAMAT BERJAYA " 


Disediakan oleh: PERTUBUHAN MAHASISWA JOHOR 

Jom daftar keahlian PMJ. Hanya klik >>> http://www.mahasiswajohor.my/p/daftar-ahli.html

Wednesday, August 22, 2018

Thursday, August 2, 2018

BIASISWA YAYASAN SULTAN ISKANDAR JOHOR 2018 (LEPASAN IJAZAH)


LATAR BELAKANG
Yayasan Sultan Iskandar Johor adalah sebuah syarikat berhad yang telah diperbadan dan didaftarkan pada 21hb. Ogos 1984. Yayasan ini ditubuhkan bagi menganjurkan tujuan-tujuan khairat dan kebajikan seperti yang dinyatakan dalam MOA ("Memorandum of Association").

OBJEKTIF

Antara Objektif Utama Yayasan adalah mewujudkan dan mengekalkan dana untuk digunakan bagi tujuan-tujuan berikut :
  1. Kemajuan pendidikan daripada semua jenis bidang yang diiktiraf oleh sistem pendidikan di Malaysia.
  2. Mengukuh, menjaga dan mentadbir dana biasiswa untuk memajukan moral, intelektual dan pendidikan fizikal serta kebajikan kepada pelajar-pelajar yang sepatutnya menerima dan memerlukan.
  3. Memberi anugerah biasiswa untuk pengajian pra ijazah dan lepas ijazah.
  4. Menaja mereka yang memerlukan pertolongan daripada segi moral, tujuan sosial atau kebajikan.
  5. Memberi bantuan dan meringankan dengan apa jua cara dan hubungan kepada institusi kebajikan.
BIASISWA
1. Pra ijazah : Anak-anak Johor daripada keluarga miskin yang belajar di UTM Skudai dan UTHM Batu Pahat.
2. Lepas ijazah : Anak-anak Malaysia yang belajar di universiti-universiti tempatan.



PERMOHONAN SEDANG DIBUKA !! 

LEPASAN IJAZAH (Universiti-universiti Awam Tempatan)

Bidang Pengajian
Kejuruteraan, Sains, Matematik & Undang-Undang.

Nilai Anugerah
RM16,800 setahun (tidak termasuk yuran pengajian).

Syarat Kelayakan 
  1. Warganegara Malaysia berumur 40 tahun dan ke bawah. 
  2. Memperolehi sekurang-kurangnya Kelas Kedua Atas atau PNGK 3.50 dan ke atas pada peringkat Sarjana Muda bagi pengajian Sarjana. 
  3. Memperolehi sekurang-kurangnya PNGK 3.50 dan ke atas pada peringkat Sarjana bagi pengajian Doktor Falsafah. 
  4. Boleh mendapatkan cuti belajar sekiranya sedang bekerja dengan mengemukakan surat pengesahan daripada majikan. 
  5. Mesti mendapat tawaran melanjutkan pengajian pada tahun ini. Sesiapa yang telah memulakan pengajian sebelum tahun ini tidak digalakkan memohon. 
  6. Tidak menerima sebarang bantuan kewangan/pinjaman/biasiswa daripada mana-mana organisasi lain. 
Cara Memohon
1. Borang permohonan boleh dimuat turun di sini (KLIK)
2. Hanya mereka yang menepati syarat-syarat kelayakan seperti yang tersebut di atas boleh memohon. 
3. Borang yang telah lengkap mesti dikembalikan sebelum atau pada tarikh seperti yang tertera di bawah. 
4. Calon-calon yang terpilih sahaja akan dimaklumkan untuk menjalani sesi temuduga. 
5. Permohonan yang tidak lengkap atau lewat tidak akan dipertimbangkan.

Tarikh Tutup: 13 Ogos 2018 ( Isnin )

SUMBER


" SELAMAT BERJAYA " 

Disediakan oleh: PERTUBUHAN MAHASISWA JOHOR 

Jom daftar keahlian PMJ. Hanya klik >>> http://www.mahasiswajohor.my/p/daftar-ahli.html


**LIKE FB SISWA ANAK JOHOR (https://www.facebook.com/MahasiswaJohor)

Wednesday, August 1, 2018

" Kenapa Aku Gagal Mohon Kerja Kerajaan ?! "

Apaaa ?? Gagal lagi ??

“ Aku dah malas nak mohon kerja kerajaan lepas ni.

“ Macam membazir duit aku nak fotostat sijil bagai. Buang minyak je pergi sana-sini minta cop.

= = = = = = = = =
Ramai kecewa bila gagal memohon jawatan sektor kerajaan.
Mungkin ramai tidak sedar ataupun tidak tahu, apakah sebab utama kegagalan tersebut.

Kami kongsikan salah satu faktor ‘KENAPA ANDA GAGAL DALAM MEMOHON JAWATAN KOSONG SEKTOR KERAJAAN ?’.

Ingat ya ! Ini cuma salah satu faktor sahaja. Bukan faktor utama yang menyebabkan permohonan anda itu gagal.

Lihat pada Gambar 1.

Ini salah satu contoh Borang Permohonan Jawatan Kosong dalam Perkhidmatan Awam.
Sama ada peringkat Kerajaan Negeri ataupun Kerajaan Persekutuan.

Lihat dan teliti pada ruang “Keputusan Pengajian Tinggi”. Pemohon perlu mengisi lengkap setiap ruang pada Borang. Itu semua maklum lah kan. Tetapi ramai pemohon yang terlepas pandang. Apa dia ?

Perhatikan, terdapat arahan kecil di situ yang tertulis : ** Sila sertakan Salinan Surat Pengiktirafan Kelayakan Kursus daripada JPA.

Bagi anda pemohon ‘fresh graduate’, adakah anda faham maksud arahan ini ?

Semestinya anda akan tertanya-tanya, 1-Surat apakah itu ; 2-Di mana mahu mendapatkan Pengiktirafan Kelayakan itu?

Kami terangkan dahulu, 1-apakah itu Surat Pengiktirafan Kelayakan Kursus daripada JPA ?

Kelayakan Yang Diiktiraf atau Kelayakan Yang Diiktiraf Setaraf adalah menjadi salah satu syarat utama untuk pelantikan dalam Perkhidmatan Awam sebagaimana yang dinyatakan dalam skim-skim perkhidmatan.

Ini ada dinyatakan di dalam Perkara 17 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2002 (Baca sini). Pekeliling berkenaan memaklumkan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) perlu menyemak status pengiktirafan kelayakan calon-calon dalam urusan pelantikan ke jawatan-jawatan dalam Perkhidmatan Awam seperti yang disyaratkan dalam skim-skim perkhidmatan. (Sumber : Laman web JPA)

Ok sudah jelas berkenaan itu. Soalan kedua pula.
2-Di mana mahu mendapatkan Pengiktirafan Kelayakan itu?

Pengiktirafan Kelayakan dari Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara adalah melibatkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Pertama sahaja.

Semakan kelayakan boleh dibuat melalui laman web eSisraf (https://app.moe.gov.my/iktiraf).

Lihat pada Gambar 2.

Setelah anda membuka laman web itu, sila klik menu Semakan Kelayakan.

Pilih ‘Negara’ ; Malaysia (Jika institusi tempatan) atau Negara-negara lain (Jika institusi Luar Negara)
Pilih ‘Institusi’ anda. Kemudian klik ‘SEMAK’.

Selepas itu, akan tertera Senarai Rekod Kelayakan.
Pilih dan klik pada Nama Kursus anda yang betul.
Lihat pada Gambar 3.

Pastikan anda dipaparkan berkenaan butiran kursus anda tersebut.
Kemudian anda klik ‘CETAK’.

Lihat pada Gambar 4.

Anda akan dipaparkan Surat yang dijana automatik oleh sistem dengan tajuk PENGIKTIRAFAN KELAYAKAN.

Pastikan butiran Nama Kursus anda, Negara, Institusi, Bidang dan Mod Program yang dipaparkan adalah betul.

Jika semua butiran betul, anda boleh terus mencetak Surat tersebut. Atau memuat turun dan simpan untuk keperluan anda.

Jangan tak percaya ! Jika kami katakan, dalam banyak Borang yang diterima, hanya kurang 10 Borang sahaja yang melepasi proses ini: Semakan Borang/Dokumen. Sedih bukan ? Jadi apabila gagal, ini tiada kena-mengena "cable besar ke kecik" "cable bawah tanah ke bawah meja" atau sebagainya. Tetapi ini kesilapan teknikal dari pihak pemohon sendiri.

Jadi, selesailah antara ‘part paling penting’ jika anda ingin mohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam.

Namun mesti diingat, salinan Pengiktirafan Kelayakan ini juga adalah dokumen yang mesti Diakui Sah oleh Pegawai Yang Memperakui bersama-sama dokumen lain juga.

Jika ia tidak Diakui Sah, atau ada dokumen lain begitu juga, maka berpotensi lah Borang anda diasingkan kepada “Borang/Dokumen Tidak Lengkap” yang membuatkan permohonan anda tidak diproses.

Di peringkat semakan dokumen sahaja nama anda sudah tidak lepas. Belum lagi peringkat Senarai Pendek untuk Ditemuduga. Jadi, jangan terlalu ambil mudah atau kata orang tua “sambil lewa”.

" Kami kongsi kepada anda, anda kongsi lah sama kawan lain. 
" Sama-sama berjaya dapat kerja, kan bagus. 
" Tapi jangan lupa credit article kepada kami. Hehe.. 

Saturday, July 21, 2018

Mahasiswa berhimpun bantah UEC


KUALA LUMPUR, 21 Julai : Lebih 200 mahasiswa daripada pelbagai universiti awam berhimpun di hadapan Kompleks Sogo di sini bagi menzahirkan bantahan terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Perhimpunan itu anjuran Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) bermula di Masjid Negara dan sepatutnya berarak ke Kompleks Sogo, namun dihalang anggota polis daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kira-kira jam 2 petang tadi.

Pihak polis kemudian membenarkan kumpulan itu berhimpun di Sogo, namun tiada perarakan dibenarkan dari Masjid Negara ke pusat beli belah berkenaan.

Presiden GAMIS, Faizuddin Mohd Zai, berkata pengiktirafan UEC sepatutnya tidak dibuat memandangkan sistem pendidikan kebangsaan masih relevan.

"Kami akan mengadakan jelajah di seluruh negara termasuk mengumpul petisyen di kampus untuk dihantar kepada menteri," katanya ketika ditemui di pusat beli belah itu, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, berkata seramai 65 pegawai dan anggota dikerahkan bagi mengawal perhimpunan yang berlangsung selama tiga jam sebelum bersurai kira-kira jam 5 petang tadi.

"Tiada individu yang ditahan ketika perhimpunan berlangsung dan peserta mengikut arahan pihak polis.

"Kami akan lihat tujuan perhimpunan ini diadakan sebelum tindakan lanjut dibuat," katanya ketika dihubungi, di sini.

UEC adalah sijil yang dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH). - BERITA HARIAN

Tuesday, July 17, 2018

PTPTN: Tempoh 9 hari peminjam kemas kini data peribadi

KUALA LUMPUR, 16 Julai : Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberi tempoh sembilan hari hingga 25 Julai ini untuk mengemas kini data peribadi, terutama dari segi maklumat pendapatan mereka.


Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata kerjasama itu penting supaya janji 100 hari dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi penangguhan pembayaran balik oleh peminjam berpendapatan bawah RM4,000 sebulan, dapat dilaksanakan.

"Bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan, maklumat pendapatan peminjam yang tepat dan terkini amat diperlukan.

"Ini penting bagi menentukan tarikh tepat untuk melaksanakan penangguhan pembayaran balik pinjaman itu. Selagi tidak memperoleh kerjasama penuh, PTPTN tidak dapat memberikan tarikh sebenar.

"Bagi yang gagal mengemas kini, PTPTN beranggapan mereka tidak berhasrat memohon penangguhan pembayaran balik dan tidak termasuk dalam dasar baharu bayaran akan dibuat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Sebelum ini, PTPTN mengesahkan 429,945 peminjam sudah bebas daripada senarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan boleh ke luar negara sejak awal Jun lalu.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, peminjam boleh mengemas kini maklumat secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN pada ruangan Pengemaskinian Maklumat Pendapatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, penangguhan pembayaran balik itu bukan tiket untuk tidak membayar pinjaman PTPTN.

"Setiap hutang wajib dibayar biarpun sedikit demi sedikit. Malah, PTPTN menyasarkan kutipan sebanyak RM4 bilion tahun ini bagi membantu individu lain yang ingin memohon pinjaman PTPTN pula," katanya.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menafikan pelantikannya sebagai Pengerusi PTPTN berkuat kuasa 18 Jun lalu, bertentangan manifesto PH.

Beliau berkata, PTPTN adalah sebuah badan berkanun, manakala manifesto PH menggariskan lantikan politik tidak dibenarkan untuk jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja.

"Memang lantikan politik bertentangan manifesto PH tetapi hanya untuk jawatan di dalam syarikat GLC dan bukannya badan berkanun.

"Isu ini sengaja ditimbulkan. Malah, saya menjemput mana-mana pihak yang mengkritik pelantikan ini untuk membaca semula manifesto itu," katanya. - BH

============================================
PTPTN - AKUAN PENDAPATAN PEMINJAM PTPTN

MAKLUMAT PENTING - Adalah dimaklumkan PTPTN telah membuka (live) Portal Pengemaskinian Maklumat Pendapatan Peminjam. Semua peminjam yang patut mula bayar balik yang mempunyai baki hutang adalah dikehendaki membuat pengemaskinian di www.ptptn.gov.my/akuanpendapatan.

Tujuan pengemaskinian adalah untuk mendapatkan maklumat pendapatan peminjam, pekerjaan dan perhubungan yang terkini bagi tujuan merangka dasar baharu penangguhan bayaran balik pinjaman berasaskan pendapatan peminjam.

Tempoh pengemaskinian adalah mulai 16 hingga 25 Julai 2018. Peminjam yang tidak mengemaskini maklumat tidak akan tertakluk kepada sebarang pelaksanaan dasar baharu penangguhan bayaran balik pinjaman.

Peminjam masih dikehendaki meneruskan bayaran balik pinjaman masing-masing sehingga makluman mengenai pelaksanaan dasar baharu penangguhan bayaran balik diumumkan kelak.

Wednesday, July 11, 2018

Kenyataan - Insentif Harapan Siswa

[ KENYATAAN ]

Insentif Harapan Siswa Johor

1. Kami ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Johor, Dato' Osman bin Sapian, kerana telah meneruskan skim khas bantuan pendaftaran pelajaran yang memberikan manfaat kepada rakyat khususnya mahasiswa.

2. Insentif Harapan Siswa yang dikatakan sebagai janji 100 hari Kerajaan Johor kini, dilihat umpama menciplak dan mengubah nama Skim Bantuan Pendaftaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang telah diperkenalkan sejak sekian lama.

3. Ia dilihat hanyalah seperti skim bantuan sama yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor sebelum ini.

4. Sebelum ini, bantuan yang sama turut telah diperkenalkan kepada mahasiswa yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Johor termasuk Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dan beberapa Institusi di EduCity Iskandar Puteri.

5. Pada ketika itu, bantuan turut diberikan juga dengan memansuhkan 100 peratus caj pinjaman pelajaran YPJ (Caj Perkhidmatan 4 peratus) kepada peminjam baharu.

6. Ia terbukti meringankan beban kos melanjutkan pelajaran terutama membabitkan mahasiswa baharu yang mendaftar dan memulakan pengajian mereka serta mahasiswa yang bakal tamat pengajian.

7. Dengan Rizab kerajaan negeri yang tinggi, kami mengharapkan bentuk bantuan baharu yang lebih baik bagi membantu mahasiswa Johor dan bukannya sekadar mengulang kembali apa yang telah dilakukan kerajaan terdahulu dengan hanya menukar nama.

8. Justeru, kami memohon jasa baik YAB. Datuk Osman Sapian dan pasukannya untuk menambah baik skim sedia ada atau memberikan bantuan baharu yang lebih baik dengan idea yang lebih segar.

9. Kami juga mohon keprihatinan beliau untuk memastikan para penerima pinjaman YPJ dapat menerima wang pinjaman mereka pada awal semester.

10. Ini bagi memastikan kelangsungan pengajian dan mengelakkan mereka dari terjerumus ke lembah “pinjam meminjam” dan “mengemis” bantuan kewangan.

11. Akhir sekali, kami berharap, jika sekiranya terdapat pelbagai inisiatif baik yang telah ada dimulakan oleh kerajaan Johor sebelum ini dikekalkan jenamanya dan bukan sekadar mengubah nama semata-mata demi langkah populis yang disebabkan oleh perbezaan pandangan politik mahupun pendirian.

12. Kami mengharap sesuatu skim bantuan dengan idea baharu yang lebih segar demi kepentingan dan manfaat kepada semua rakyat Johor khususnya buat mahasiswa.

Tamat.


Muhamad Syafik Rahmat
Kepimpinan Mahasiswa Johor

11 Julai 2018