Tuesday, December 25, 2012

Kerjasama UPM, Mitsubishi Pelihara Hutan


UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Mitsubishi Corporation terus mempamerkan komitmen dalam usaha menganjurkan program penanaman pokok bagi kali yang ke-21 di UPM Kampus Bintulu, Sarawak baru-baru ini.

Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talip Zulpilip berkata, usaha UPM dan Mitsubishi Corporation memulihara hutan melalui program itu boleh mencapai matlamat untuk mewujudkan kelestarian alam sekitar.

"Saya percaya program ini adalah penting untuk masyarakat, bukan sahaja untuk mendalami isu-isu perlindungan alam sekitar malah mencetuskan idea baharu berkaitan dengan pemuliharaan hutan di Malaysia," katanya pada majlis perasmian Tahun Ke-21 penanaman pokok hutan UPMKB bersama Mitsubishi Corporation.

"Program ini adalah platform untuk pelajar, penyelidik UPM serta pemegang taruh untuk berkongsi ilmu serta membangunkan teknik pemuliharaan hutan dalam mengekalkan keindahan kawasan hutan.

"Saya menyeru agar semua pihak bekerjasama untuk menjadikan negara sebagai bandar hijau agar perlu berterusan untuk memelihara alam sekitar khususnya kepada generasi muda," katanya lagi.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. -Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo dalam ucapannya berkata kerjasama 21 tahun UPM dan Mitsubishi Corporation dalam menjayakan misi penyelidikan bagi memulihara ekosistem hutan hujan tropika dan perubahan cuaca global harus dimanfaatkan oleh warga kampus.

"Saya percaya inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari Mitsubishi dan UPM akan membuka lebih banyak ruang penambahbaikan kepada masyarakat serta penyebaran pengetahuan khususnya mengenai persekitaran alam semula jadi," katanya.

Sementara itu, seramai 350 sukarelawan dari Mitsubishi Corporation, Jepun, pensyarah serta pelajar UPMKB mengambil bahagian dalam program itu di kawasan tapak projek pemuliharaan Hutan UPM-Mitsubishi di UPM Kampus Bintulu, Sarawak.

Pada tahun 2008, penghasilan semula model hutan tropika di lokasi yang sama seluas 27 hektar melibatkan penanaman 3,000 anak pokok hutan dari spesis utama.

Selain Mitsubishi Corporation, Yokohama National University, Jepun (YNU) juga telah menjalinkan kerjasama dengan UPM melalui projek penanaman pokok di UPM kampus Bintulu, Sarawak pada tahun 1990. Projek ini mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada Mitsubishi Corporation, Jepun dengan peruntukan permulaan berjumlah RM 5 juta bagi tempoh empat tahun pertama.

Sejak tahun 1991 sehingga kini, sebanyak 350,000 pokok hutan daripada 128 spesis telah ditanam di Kampus Bintulu seluas 47 hektar.

Perintis konsep model hutan yang dibangunkan di Serdang adalah berdasarkan konsep yang berjaya dibangunkan di UPMKB iaitu concept of vegetarian association yang diperkenalkan oleh Prof. Dr. Akira Miyawaki dari YNM dan digabungkan dengan concept of accelerating natural vegetation oleh Dato' Prof. Dr. Nik Muhamad Abd Majid, mantan Dekan UPMKB.

Melalui penubuhan projek ini di Serdang dan Bintulu, pelbagai projek-projek penyelidikan yang boleh dijalankan bukan sahaja oleh para saintis dari Jepun, malah pelajar UPM (program pra siswazah dan pasca siswazah) serta pensyarah UPM (dari kampus Bintulu dan kampus Serdang).

Antara penyelidikan utama yang dijalankan adalah sains tanah, kualiti air, entomologi, perubahan iklim, hidupan liar, kepelbagaian biologi, ekonomi, fisiologi dan patologi. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment