Wednesday, December 19, 2012

HUTANG KERAJAAN NEGERI MENURUN


KOTA ISKANDAR, 13 Dis - Hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan terus menurun daripada RM1.4 bilion pada 2010 kepada RM482 juta pada 2011.

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata sebahagian besar daripada penurunan itu adalah disebabkan oleh pengambilalihan hutang bekalan air oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di samping kemampuan Kerajaan Negeri sendiri untuk menjelaskan bayaran balik hutang yang telah matang mengikut jadual.

“Bagi tahun 2012 ini, ia dijangkakan akan terus menurun kepada RM145 juta apabila pinjaman projek bekalan air yang dibiayai melalui pinjaman Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia dihapus kira.

“Daripada jumlah hutang itu, RM31.5 juta melibatkan pembinaan rumah kos rendah manakala RM84.04 juta untuk keperluan Johor Corporation (JCorp) dan baki RM29.48 juta adalah bagi perbelanjaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Dr. Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mengenai pengambilalihan semua baki pinjaman bekalan air yang telah diperolehi Kerajaan Negeri dan SAJH oleh PAAB, Abdul Ghani berkata, PAAB perlu membayar nilai aset-aset bekalan air serta baki pinjaman bernilai RM4.3 bilion berdasarkan kepada laporan kewangan SAJH yang telah diaudit.

Beliau berkata, RM2.269 bilion akan digunakan untuk membayar hutang SAJH kepada pemegang bon Al-baids Bithamin Ajil dan Bank Pembangunan manakala RM1.298 bilion akan digunakan untuk bayaran hutang SAJH bagi pihak kerajaan negeri seperti yang termaktub di dalam perjanjian konsesi.

"Pembayaran hutang itu meliputi pinjaman Kerajaan Pusat, pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hutang tertunggak Equiventures Sdn. Bhd. (ESB) dan Southern Water Corporation Sdn. Bhd. (SWC). 

"Manakala selebihnya adalah lebihan aset yang dinikmati SAJH setelah membuat pelaburan dalam industri air di negeri ini seperti pembinaan Loji Air Semanggar dengan kos RM550 juta serta penerbitan bon bernilai RM1.28 bilion bagi pembangunan industri air negeri serta bayaran tetap bulanan kepada ESB dan SWC.

Beliau berkata, hutang-hutang yang diambil alih akan distruktur semula sementara aset yang dibiayai hutang berkenaan dipajak semula kepada SAJH, dan PAAB akan menerima bayaran sewa pajakan bulanan daripada SAJH.

"Dalam hal ini kerajaan negeri tidak menanggung sebarang kos atau kerugian hasil daripada pengambilalihan aset serta pinjaman bekalan air tersebut," katanya. - Medkom

0 comments:

Post a Comment