Saturday, December 8, 2012

JOHOR BENTANG BAJET LEBIHAN 2013


NUSAJAYA, 7 Dis - Ekonomi Johor kini semakin mantap apabila sekali lagi bajet mencatatkan lebihan untuk dua tahun berturut-turut.

Bajet 2013 yang dibentangkan di Dewan Negeri hari ini menganggarkan lebihan pendapatan RM4.40 juta berbanding lebihan dalam Bajet tahun 2012 berjumlah RM1.21 juta. 

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, semasa membentangkan Bajet 2013 berkata, hasil Kerajaan Negeri bagi tahun berkenaan dianggarkan berjumlah RM908.66 juta manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM904.26 juta.

Beliau berkata, hasil Kerajaan Negeri bergantung kepada tiga komponen utama, iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil.

“Hasil Cukai bagi tahun 2013 dianggarkan sebanyak RM354.61, juta iaitu pertambahan sebanyak RM24.93 juta berbanding anggaran asal tahun 2012.

“Kutipan daripada Hasil Bukan Cukai pula dianggarkan meningkat sebanyak RM59.02 juta kepada RM358.94 juta, iaitu peningkatan sebanyak 19.68 peratus. Terimaan Bukan Hasil dianggarkan sebanyak RM196.29 juta,” katanya.

Katanya, perbelanjaan mengurus dianggarkan meningkat sebanyak 9.64 peratus daripada RM824.78juta kepada RM904.26 juta.

“Komponen utama perbelanjaan mengurus terdiri daripada pembayaran emolumen dengan anggaran berjumlah RM380.57 juta.

“Perbelanjaan-perbelanjaan lain adalah seperti perkhidmatan dan bekalan RM260.44 juta, perolehan aset RM14.59 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM231.22 juta dan lain-lain RM17.44 juta,” katanya.

Abdul Ghani berkata peruntukan pembangunan untuk tahun 2013 adalah sebanyak RM297.32 juta.

“Daripada jumlah itu, RM62.75 juta diperuntukkan kepada Pejabat Menteri Besar bagi tujuan pelbagai pembangunan termasuk pembinaan jalan-jalan kampung, pengambilan balik tanah, pembinaan dewan orang ramai, pembinaan padang di mukim-mukim dan program pembangunan usahawan,” katanya.

Katanya lagi dalam Bajet 2013, Jabatan Kerja Raya Negeri Johor diperuntukkan RM83.46 juta yang sebahagian besar adalah untuk pembinaan jalan dan jambatan negeri serta bangunan kerajaan.

“Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar diperuntukkan RM41.83 juta daripada jumlah itu, RM24.16 juta adalah untuk projek pengairan dan saliran manakala selebihnya untuk projek-projek perikanan, pertanian dan perkhidmatan veterinar.

“Jabatan lain yang mendapat peruntukan besar adalah Jabatan Agama Negeri Johor (JAJ) yang diperuntukkan RM31.27 juta bagi tujuan pendidikan agama, pembinaan sekolah-sekolah agama dan program pembangunan ummah.

Katanya lagi, pada Bajet 2013, Kerajaan Tempatan dan Perumahan menerima peruntukan RM12.46 juta.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM11 juta untuk membantu penguasa-penguasa tempatan melaksanakan projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing manakala baki RM1.46 juta adalah untuk pembinaan dan penyelenggaraan rumah-rumah rakyat.

Sementara itu, sebanyak RM52.50 juta disediakan untuk Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah dan RM10.55 juta disediakan untuk projek-projek pembangunan perhutanan dan pelancongan.

Mengenai Tabung Amanah Warisan, beliau menjelaskan tabung berkenaan masih melaksanakan aktiviti-aktiviti pelaburan untuk menjana pendapatan kepada Kerajaan Negeri.

Katanya, daripada jumlah modal sebanyak RM390.40 juta, nilai kumpulan wang Tabung Amanah Warisan Negeri Johor sehingga akhir Oktober 2012 terus mencatat peningkatan kepada RM413.59 juta berbanding pada akhir tahun 2011 berjumlah RM348.75 juta.

“Tabung berkenaan sehingga akhir Oktober 2012 telah berjaya merekodkan jumlah keuntungan bersih sebanyak RM64.84 juta berbanding RM29.24 juta pada tahun 2011.

“Pencapaian yang memberangsangkan ini adalah kerana peningkatan harga pasaran yang berterusan oleh indeks komposit di Bursa Malaysia.

“Walau bagaimanapun, Pengurusan Tabung akan lebih berhati-hati dengan melakukan aktiviti pemantauan dengan telus dalam memilih peluang-peluang pelaburan yang lebih menguntungkan,” katanya. - Medkom

0 comments:

Post a Comment