JOHOR BAHRU, 18 Dis - Seramai 40 penuntut Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) mencurah bakti dan keringat mereka selama tiga hari dua malam pada Program Baktisiswa Kesihatan dan Desa di Kampung Pasir Putih, di sini baru-baru ini.
Program yang memberi penekanan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan penduduk setempat dan dianjurkan oleh Hal Ehwal Pelajar KPYPJ itu merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan berkenaan.
Aktiviti bermula dengan pembahagian penuntut kepada keluarga angkat masing-masing sebelum dirasmikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Johor Bahru, Khasanah Sufaat.
Khasanah berkata, program baktisiswa merupakan pendekatan terbaik yang digunakan oleh kebanyakan universiti untuk mendekati serta mendalami kehidupan masyarakat akar umbi.
Program ini memberi peluang kepada penuntut universiti terbabit untuk berbakti kepada penduduk setempat melalui kerja amal dan sukarela yang dilakukan sepanjang berada dalam kelompok komuniti itu.
Program yang turut dikenali sebagai Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) ini membolehkan peserta memahami aspek kehidupan masyarakat luar bandar secara terus, selain menjadi latihan untuk mereka meningkatkan kemahiran interpersonal, bakat kepimpinan dan insaniah," katanya.
Turut hadir pada majlis pelancaran program berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Alim Abdul Shukor dan Ketua Kampung Pasir Putih, Bachok Nohong.
Program tiga hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong membersihkan persekitaran kampung melibatkan masjid, tanah perkuburan dan balai raya selain menghias, mengecat serta melukis mural di Sekolah Kebangsaan Agama Taman Mawar di sini. - Utusan
0 comments:
Post a Comment