JOHOR BAHRU 9 Dis. - Kementerian Pengajian Tinggi akan menyarankan institusi pengajian tinggi (IPT) mewujudkan program yang akan menyerlahkan identiti mereka selaras dengan menjadi salah satu ejen transformasi masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu masih dalam peringkat pertimbangan sebelum diumumkan kepada semua 80 universiti dan kolej universiti yang ada di negara ini tahun hadapan.
Beliau berkata, program yang dipilih IPT mesti mempunyai hubung kait dengan masyarakat, relevan dan memberi impak positif kepada komuniti berkenaan serta mewujudkan pemindahan ilmu antara kedua-dua pihak.
"Selama ini kerajaan yang banyak melaungkan perihal mengenai transformasi, namun kita mahu universiti juga terlibat kerana mereka mempunyai ramai cerdik pandai di sana. Kita tidak mahu mereka hanya jadi penonton di luar gelanggang dan sekadar memerhati.
"Sehubungan itu, pihak kementerian minta semua universiti fikirkan satu program yang menjadi kekuatan dan membuatkan masyarakat sedar akan kewujudan mereka dalam arena pendidikan negara," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Khidmat Komuniti Pasir Gudang, di sini hari ini.
Program yang disertai 84 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dianjurkan Unit Kebajikan Pelajar UKM dan Kementerian Pengajian Tinggi itu diadakan selama empat hari di Taman Mawar, di sini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, cadangan program khidmat komuniti tersebut merupakan salah satu tumpuan teras kementerian selain melahirkan modal insan yang diperlukan negara dan penemuan ilmu baharu dalam zaman pengetahuan ini.
Katanya, program yang dijalankan itu perlu melibatkan masyarakat setempat supaya kesannya dapat dilihat dan diukur dari semasa ke semasa.
"Ia merupakan salah satu usaha yang dilakukan kementerian untuk memantapkan khidmat komuniti universiti bukan hanya dilakukan penuntut, malah turut melibatkan para pensyarah dan cendekiawan yang lain," ujarnya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment